Pemimpin Pembangkang Dipanggil Bertemu PM… Bersifat Individu Bukan Rasmi – SUA

KETEREH, 3 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan perjumpaan beberapa pemimpin pembangkang bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu ada bersifat peribadi.

Tegasnya, Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara menyatakan apa-apa perjumpaan yang bersifat rasmi antara parti dan mana-mana pihak diserahkan kepada Presiden, Datuk Seri dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita sudah buat keputusan, kalau ada apa-apa yang bersifat rasmi itu Majlis Tertinggi (serahkan) kepada Presiden. Jadi selain dari itu dianggap sebagai atas sifat peribadi masing-masing.

“Dan bila kita semak perjumpaan itu sebenarnya mereka dipanggil, semak dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS mereka dipanggil barangkali adalah nak bertanya khabar atau tentang apa-apa sahaja. Tapi itu bukan merupakan satu perjumpaan yang rasmi daripada parti.

“Saya fikir Tun meninjau-ninjau dan mungkin bertukar-tukar pandangan. Jadi tiada masalah,” ujarnya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

Dilaporkan dalam media arus perdana, Tun Mahathir menjelaskan pertemuannya dengan beberapa pemimpin parti pembangkang sebagai perkara biasa dalam rutin hariannya sebagai perdana menteri.

Ketika ditanya mengenai jumlah wakil UMNO yang bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan ia di luar pengetahuannya kerana bukan melalui saluran rasmi parti.

“Saya tidak tahu sebab bukan melalui UMNO… setahu saya seorang sahaja.

“Sebab sebelum ini pun ada orang lain yang berjumpa. Kita dengan perdana menteri ada berjumpa wakil-wakil rakyat berjumpa,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.