Kenapa Bila UMNO Dengan PAS Nak Jalankan Kerjasama Macam Nak Runtuh Negara? – Tok Mat

PONTIAN, 3 Ogos – “Kenapa bila UMNO dengan PAS nak jalankan kerjasama macam nak runtuh negara… apasal? Mesti ada sesuatu yang mereka bimbangkan tentang kerjasama ini,” ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelas beliau, kerana terlalu risaukan kejayaan kerjasama UMNO dan PAS ini maka pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan bagi menggagalkan penyatuan kedua-dua parti Islam terbesar ini.

“Piagam ini cuma kata kelola kerja atau ‘skop of work’ untuk dijadikan rujukan cara mana untuk kita menerus dan memperkasakan agenda.

“Ia tidak mengikat mana-mana pihak… tidak mengikat UMNO ataupun PAS cuma untuk rujukan sahaja. Dalam itu nanti (piagam) akan ada jawatankuasa itu jawatankuasa ini dan apa yang patut dibuat diperingkat negeri dan bahagian… itu sahaja.

“Tidak tersebut langsung pasal kerusi… kita nak susun strategi untuk menghadapi pilihan raya, sebab itu dipanggil taawun… kerjasama politik. Jadi saya harap tidak akan ada ahli UMNO dan PAS yang akan terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan,” ujar beliau kepada media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pontian, hari ini.

Tambah Hasan atau lebih mesra disapa Tok Mat, kerjasama penyatuan ini masih diperingkat menabur benih dan ia perlu diperkasa di peringkat bahagian dan negeri.

“Yang akan kendalikan taawun ini adalah diperingkat bahagian dan negeri, semua kena faham apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh.

“Jangan pula kita terlampau macam-macam sehingga merosakkan penyatuan ini. Kita kena susun gerak kerja yang teliti. Strategi pula bergantung kepada negeri kerana kita tidak boleh ada satu strategi untuk semua negeri.

“Contoh, Johor mesti ada strategi sendiri, strategi Johor tidak sama dengan Kelantan atau lain-lain negeri,” ujar beliau lagi.

Selain itu jelas Tok Mat, kerjasama ini juga adalah bagi menguatkan blok pembangkang untuk menjadi pembangkang yang efektif.

“Kita di blok pembangkang tidak boleh buat hal masing-masing. Rakyat perlukan blok pembangkang yang kuat, efektif dan berkredibiliti.

“Jadi kita mesti punya satu suara untuk membawa suara rakyat,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.