Allah Uji UMNO Dengan Kekalahan Untuk Kenal Siapa Kawan, Siapa Lawan – Wan Rosdy

KETEREH, 3 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di peringkat nasional dan negeri kecuali Pahang serta Perlis mempunyai hikmah yang besar.

Kekalahan tersebut menjadikan parti lebih mengenali siapa kawan sebenar dan siapa lawan sebenar ketika menang dan kalah.

“Jadi, itulah hikmahnya bila kita kalah, yang pertama sekali kita hendak kenal siapa kawan dan siapa lawan kita. Bila kita ada kuasa dan menang macam ini, tapi bila kalah macam ini.

“Tetapi rakan kita dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) bila kita menang tidak bersama dengan kita, tetapi bila kita kalah mereka datang bantu kita. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Dan bantuan bermula di Cameron Highlands,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini hari ini.

Turut sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan barisan kepimpinannya.

Turut hadir, barisan kepimpinan parti komponen BN dari MCA dan MIC, PAS kawasan Ketereh serta badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Tambah Wan Rosdy lagi, resepi kejayaan pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands adalah kerana strategi yang diatur sesuai mengikut keadaan dan semasa, yang perlu diikut parti bagi menghadapi PRU-15 nanti.

“Andainya PAS meletakkan calon semasa PRK Cameron Highlands tempoh hari, yang menang bukan PAS, yang menang bukan UMNO tapi yang menang ialah Dap.

“Sebab apa? Sebab semasa PRU-14 kita cuma menang dalam empat ratus undi sahaja majoriti. Dan dengan keadaan sekarang mereka (PH) yang pegang agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dap yang akan menang,” tegasnya.

Justeru itu katanya, UMNO telah sedar strategi amat penting.

“Tetapi kita telah sedar, kekalahan tempoh hari (PRU) bukan sebab kita tidak kuat tetapi salah satu sebab kerana salah strategi. Kita meletakkan PAS, UMNO/BN dan parti PH, undi berpecah dan yang menang mereka.

“Dan InsyaAllah pada PRU-15 kita tidak akan silap atur strategi lagi, dan sekiranya keadaan ini menjadi, Insya-Allah Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) akan kita tawan kerana ada 30 puluh kerusi parlimen andainya kita campur undi PAS dan BN, kita boleh menang dengan selesa,” katanya.

Antara lain jelasnya, kekalahan BN juga disebabkan rakyat ditipu dengan manifesto PH yang sehingga kini gagal dilaksanakan kecuali menghapuskan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kekalahan BN tidak menjadikan negara semakin baik malah semakin teruk tambahan pula pemimpin-pemimpin PH sering mengeluarkan idea-idea yang mengarut dan tidak mampu memakmurkan ekonomi negara,” tegasnya lagi.

Dalam ucapannnya juga, Wan Rosdy menekankan bahawa meletakkan kepentingan parti lebih kepada kepentingan peribadi juga merupakan resepi kejayaan sesebuah parti yang akhirnya mampu mengangkat seseorang pemimpin di tempat yang sewajarnya di mata masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada perjalanan politik Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang berkecimpung dalam politik selama lebih empat dekad yang wajar dijadikan panduan oleh semua pendukung parti.

“Meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan peribadi. Walaupun kalah terus berjuang. Menang terus berjuang.

“Jadi ini yang perlu kita contohi bukan selepas kita memerintah 61 tahun, baru kalah sekali keluar daripada UMNO. Ada di Kelantan ini kita tidak sangka pun baik pijak semut tidak mati tiba-tiba dia dulu yang keluar.

“Tapi Tan Sri Annuar Musa berani, agresif paling lantang lawan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.