UMNO Sabah Masih Kukuh, Jadi Pembangkang Tak Lunturkan Kesetiaan Untuk Berjuang

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO Sabah tidak pernah menafikan bahawa ada segelintir ahli mereka yang telah berhijrah ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tetapi bukannya sehingga ratusan ribu ahli sebagaimana yang yang digembar-gembur oleh pemimpin PPBM, tegas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Hussin.

Beliau berkata, walaupun UMNO bukan lagi sebagai kerajaan tetapi keikhlasan dan kesetiaan tidak pernah luntur malah perjuangan ahli UMNO tiada tolok bandingnya.

“Kesetiaan ahli UMNO kepada parti tiada siapa yang boleh dipertikaikan walaupun UMNO adalah pembangkang dan bukannya kerajaan. Apa yang tinggal hari ini adalah perjuangan yang ikhlas dan kesetiaan kepada parti.

“Rakyat tidak bodoh untuk menyokong parti yang tiada hala tujunya… yang menang kerana janji-janji palsu dan fitnah. Yang lebih teruknya menang menggunakan tiket parti UMNO tetapi telah mengkhianati parti tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Azmi menambah, kesedaran rakyat Sabah terhadap UMNO semakin meningkat terutamanya anak muda yang merasa tertipu dengan kerajaan PH dan mereka yakin UMNO adalah pilihan yang terbaik.

“UMNO tidak akan mendabik dada tapi faktanya UMNO di Sabah saban hari mendapat permohonan untuk menjadi ahli baru terutamanya daripada golongan muda.

“Terdapat bukti bahawa ramai ahli UMNO telah didaftarkan secara senyap-senyap masuk ke parti PPBM… ini membuktikan ada ‘tangan-tangan jahat’ telah melakukan perkara yang tidak beretika.”

Tegas beliau, ada fail-fail keahlian UMNO yang tidak dikembalikan oleh mereka, tetapi mereka telah melompat kepada parti lain. Kenapa mereka tidak kembalikan fail tersebut? Apa yang mereka ingin lakukan dengan fail keahlian UMNO itu? Ahli siapakah yang sebenarnya hanya wujud di atas kertas?

“Ahli PPBM Sabah pula tidak tahu kemana arah tujunya. Sudahlah tidak diterima oleh kerajaan negeri Sabah yang ditunjangi oleh Parti Warisan, program parti pula seperti ‘suam-suam kuku’. PPBM Sabah ini seperti kerajaan pun bukan, pembangkang pun bukan hanya wujud di atas kertas sahaja.

“Tujuan PPBM di Sabah adalah menginginkan UMNO Sabah akan berkubur, tetapi mereka silap walaupun ramai Ahli Daerah Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) UMNO telah melompat parti tetapi UMNO Sabah masih wujud dan ia memberi satu tamparan yang cukup hebat kepada PPBM.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.