Politik Dap Bahayakan Keharmonian Pelbagai Kaum – Annuar

TUMPAT, 2 Ogos – Jika dahulu keharmonian pelbagai kaum dirobek ekoran peristiwa rusuhan pada 13 Mei 1969 yang dicetuskan oleh parti Dap, kini sekali lagi seolah-olah mereka mahu melakukan perkara yang sama merobek keharmonian kaum walaupun dengan lain pendekatan, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

Jelasnya, ini boleh dilihat pada tindakan-tindakan dan kenyataan demi kenyataan pemimpin Dap yang membahayakan keharmonian kaum di negara ini seperti sokongan padu kepada ICERD dan Statut Rom, menuduh kerjasama UMNO PAS sebagai Taliban serta memerangi bukan Islam dan juga mahu meminda kurikulum pendidikan.

“Cara Dap tidak boleh jadi formula (keharmonian kaum) di Malaysia. Kemuncak cara Dap bila cakap Cina maksud lain, cakap bahasa Melayu dan Inggeris lain maksud.. tidak boleh. Ikatan perpaduan kena ikhlas tidak boleh ‘pepat di luar rencong di dalam’.

“Depan bunyi molek, belakang duk bawa idealogi sosialis. Islam tolak idealogi sosialisme. Apalagi nak bawa idealogi sosialis kiri yakni komunis. Fahaman ini tidak boleh pergi sekali dengan Islam hendak sama ratakan semua. Dalam Islam keadilan, memberikan hak kepada yang berhak,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim dan Ketua Wanita UMNO Negeri Kelantan, Senator Datin Rahimah Mahamad.

Turut sama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Yang Dipertua PAS Tumpat, ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat, ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, ADUN Wakaf Baru, Mohd Rosli Abdullah dan barisan kepimpinan MCA kawasan.

Dalam ucapannya Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata asas pembentukan negara ini sebenarnya berlandaskan model pembentukan negara sebagaimana Rasulullah S.A.W. bina negara Islam Madinah, mengharmonikan kaum-kaum yang wujud sebelum kedatangan Baginda.

“Itulah asas kita bina negara kita, kerana kita Islam kita tidak boleh membenci orang kerana bukan Islam dan bukan Melayu. Sebab itu boleh kita bersama MCA, MIC jadi Perikatan menjadikan Malaysia masyarakat majmuk.

“Suka saya ulang perkara ini kerana ada orang kata UMNO PAS bergabung (ta’awun), maka akan jadi ancaman kepada orang Cina…akan jadi Taliban…akan jadi rasis. Selagi UMNO, PAS dan orang Melayu orang yang ada agama dan ajaran Nabi S.A.W. adalah jelas, sunnah Nabi adalah jelas, amaran Nabi S.A.W. adalah jelas, “bukan dari golongan aku orang yang amalkan asobiyah (menindas kelompok lain),” ujarnya.

Ini kerana kata Annuar, Rasulullah mengajar umat Islam kena terima pelbagai kaum, ada kebebasan beragama, bersederhana dan melarang menyakiti orang bukan Islam yang berstatus ‘zimmi’.

Jelas Annuar juga, jasa UMNO, PAS, MCA dan MIC amat besar kepada pembentukan sebuah negara yang mendukung perpaduan dan keharmonian kaum.

“UMNO, PAS MCA MIC adalah parti yang wujud sebelum merdeka, manakala parti-parti dalam kerajaan sekarang ini adalah parti yang wujud selepas merdeka.

“Dap tahun 1966, PKR 1998, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru tiga tahun umur, Parti Amanah Negara (PAN) baru dua tahun setengah umur.

“Kena diberitahu kepada rakyat Malaysia parti yang empat itu bergabung semata-mata kerana hendak mengalahkan parti-parti lama tetapi kita ini parti wujud sebelum merdeka yang letak asas Malaysia,” tambahnya.

Annuar juga menyeru kepada semua pendukung parti agar meyakinkan rakyat akan kemampuan untuk membuat yang lebih baik dari kerajaan sekarang ini.

“Kita kena yakin, boleh beri perkara yang lebih baik kepada masyarakat. Sebarkan, tunjukkan kita orang yang berpeluang untuk menunjukkan wajah Islam yang sebenar,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.