Peguam Negara Dan Ketua Polis Perak, Angkat Kedaulatan Undang-Undang Dan Lindungi Rakyat!

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Peguam Negara dan Ketua Polis Perak didesak untuk segera memuktamadkan kertas pendakwaan ke atas Exco Dap Perak Paul Yong atas dakwaan rogol terhadap pembantu rumahnya.

Pergerakan Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid berkata kelembapan menguruskan pendakwaan bagi sebuah kes yang sudah terang lagi bersuluh ini adalah amat mengecewakan.

“Keistimewaan yang diterima oleh pemimpin Dap seumpama Malaysia kini tidak mengamalkan Kesaksamaan dan Perlindungan disisi Undang-Undang (Equality before the Law and Equal Protection of the Law) yang dijamin oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Apakah ini yang dikatakan Rule of Law? Apakah ini reformasi yang sering diratib oleh pimpinan DAP? Bagaimana nasib mangsa pula? Adakah kerana mangsa adalah warganegara asing bermakna kes ini boleh dilengahkan?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Soal beliau lagi, mengapakah pimpinan wanita Dap membisu dan sanggup menjadi hipokrit kerana sayangkan kuasa lebih dari perjuangan hak asasi manusia yang dicanang-canangkan?

“Pemuda UMNO Perak menyeru dengan serius agar Peguam Negara dan Ketua Polis Perak segera mendedahkan status terkini kertas pendakwaan kes ini. Ingatilah sumpah jawatan kalian untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengangkat kedaulatan undang-undang.

“Janganlah kalian berdua tunduk kepada desakan dan tekanan parti Dap yang jelas hipokrit dalam perjuangan mereka.”

Tegasnya lagi, rakyat marhaen di bawah mendambakan sistem perundangan dan penguatkuasaan yang adil, non-partisan dan telus kerana itulah yang memberi jaminan keselamatan kehidupan mereka.

Dilaporkan, 9 Julai lalu, satu laporan polis di Balai Polis Jelapang telah dibuat ke atas Paul Yong yang juga ADUN Tronoh mengenai dakwaan cabul dan rogol terhadap seorang pembantu rumah wanita berusia 23 tahun.

Pada 17 Julai dimaklumkan bahawa kertas siasatan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya supaya dapat menjalankan siasatan yang rapi dan terperinci mengenai kes ini namun sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan sementara Paul Yong menjalankan tugas seperti biasa. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.