Integriti Dipertikai, MB Selangor Biarkan Anak Syarikat Kerajaan Diurus Individu Tidak Dilantik

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Terdapat keraguan yang menyentuh soal integriti dan salah laku urustadbir terhadap integriti dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor YAB Amirudin Shari, kata Pengerusi Gerakan TUNTUT Malaysia, A’zlan Abu Bakar.

Beliau berkata demikian merujuk kepada perbahasan usul 26(5) Peraturan Tetap berkenaan penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) terhadap anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor iaitu Syarikat Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) di dalam sidang DUN Negeri Selangor yang dibahaskan oleh Pengerusi PAC Kerajaan Selangor iaitu YB Rizam Ismail merangkap ADUN Sungai Air Tawar.

“Ini merupakan satu kesalahan yang amat serius dan boleh disabitkan kesalahan jenayah. Ini dikuatkan lagi apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2017 mengesahkan bahawa Syarikat Communication Corporation Sdn Bhd tidak pernah mengeluarkan surat perlantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada En Eddie Adrianto,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Gerakan TUNTUT ingin menarik perhatian pihak polis dan juga SPRM untuk menyiasat perkara ini yang mana telah lama dibiarkan berlaku di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Adakah benar Menteri Besar Selangor begitu cuai sehinggakan tidak menyedari bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Communication Corporation Sdn Bhd menjalankan tugas dalam meluluskan kewangan serta pengurusan tadbir tanpa mendapat pelantikan.

“Gerakan TUNTUT percaya bahawa perkara ini akan melahirkan keresahan rakyat Selangor terhadap integriti dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor YAB Amirudin Shari.

“Soal perlantikan ini merupakan satu perkara yang serius apabila ia melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Eddie Adrianto yang menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Communication Corporation Sdn Bhd secara salah sejak 1 Januari 2016 tanpa surat perlantikan.”

Dalam erti kata lain, katanya, sehingga 31 Disember 2018 iaitu bagi tempoh tiga tahun Eddie Adrianto telah menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat di bawah Kerajaan Negeri Selangor secara tidak sah dan salah.

“Ini melibatkan implikasi keputusan Lembaga Pengarah dan juga pengurusan syarikat serta kewangan. Soal integriti menjadi satu persoalan kerana hampir tiga tahun masih tiada lagi lantikan secara rasmi dan perkara ini menimbulkan salah laku tadbir urus jika tidak diselesaikan dan menunjukkan kelemahan oleh kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikannya dari segi undang undang.

“Gerakan TUNTUT menuntut supaya Menteri Besar Inc. (MBI) juga diminta untuk meneliti semula dengan segera komposisi Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat dan anak-anak syarikat yang lain dalam memastikan prinsip yang sama diguna pakai iaitu separuh daripada Ahli

“Lembaga Pengarah mestilah berkompisisi bebas seperti yang ditetapkan dalam Malaysian Code on Coporate Governance (MCCG) 2017 yang di keluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.