UMNO-PAS Ikhlas Wujudkan Perpaduan, Berlaku Ketika Bangsa, Agama Perlu Dipertahankan
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Sharkar Samsudin berkata, UMNO meyakini tangan yang dihulur oleh PAS adalah satu kejujuran kerana ia terjadi di waktu UMNO tewas dan dalam keadaan bangsa Melayu serta agama Islam yang perlu dipertahankan.
Jelas beliau, ini jelas membuktikan bahawa PAS benar-benar ikhlas untuk bersama dengan UMNO, dan UMNO juga demikian.
“Penyatuan UMNO dan PAS bukan atas dasar politik tetapi adalah atas dasar ingin mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Sebab itu bila kita kalah, PAS datang hulur tangan dan kita yakin PAS benar-benar ikhlas.
“Lepas ini kita akan bersama-sama memastikan PRU-15 kita tawan kembali Putrajaya,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Sharkar, walaupun pada awal penyatuan PAS dan UMNO dipertikaikan malah ada yang cuba menabur fitnah kononnya ia adalah penyatuan memerangi bangsa lain namun kini ramai yang telah memahami erti penyatuan ummah ini.
“Kita bersatu bukan bermakna kita pinggirkan bangsa lain. UMNO akan tetap bersama-sama dengan MCA dan MIC.
“Kita tidak boleh berpecah. Kedatangan PAS menguatkan lagi kita maka tidak ada salahnya kita bersatu. UMNO, MCA, MIC dan PAS… kita ‘satu’, ” ujar beliau lagi. – MediaUMNO