Semangat Kebersamaan Tinggi Jadikan UMNO Sabah Lebih Kuat – Zahid

BEAUFORT, 30 Julai – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin semangat kebersamaan tinggi yang ditunjukkan oleh pemimpin baharu bahagian-bahagian di Sabah selepas pemimpin lama melompat parti, akan menjadikan UMNO Sabah lebih kuat daripada sebelum ini.

Presiden UMNO berkata, ini bukti jelas UMNO tidak ketandusan pemimpin pelapis di.mana selepas ketua-ketua bahagian yang lama berpindah parti, UMNO Sabah di bawah teraju Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam masa singkat berjaya mencari 22 ketua bahagian baharu bagi mengisi kepimpinan bahagian.

Beliau kagum dengan semangat daya juang yang tinggi kepimpinan baharu bahagian-bahagian di Sabah, terutama dalam mendapatkan keahlian yang ramai setiap kali mesyuarat parti berlangsung.

“Jika semangat ini diteruskan, saya yakin Kerajaan Sabah akan kembali semula kepada BN.

Walaupun pelbagai propoganda disebar oleh kepimpinan PH bagi melemahkan UMNO, ternyata UMNO Sabah terus maju dan bergerak perkasa ke hadapan”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Beaufort di sini hari ini.

Dr Zahid seterusnya berkata fakta sebenar yang harus difahami oleh ahli UMNO Sabah adalah parti itu tidak tewas dalam PRU ke-14, sebaliknya Barisan Nasional (BN) kehilangan kerajaan kerana dikhianati oleh beberapa pemimpin yang berpindah parti.

Justeru beliau mencabar mana-mana bekas ahli Parlimen atau ADUN Sabah yang menang atas tiket BN pada PRU14, supaya meletak jawatan kerana mereka menang atas kerja kuat jentera BN dan rakyat yang menyokong calon BN.

Menurutnya, rakyat semakin muak dengan kegagalan demi kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya yang lalu dan beliau yakin akan wujud tsunami rakyat menolak kerajaan dalam masa terdekat kerana semakin ramai yang sedar mereka tertipu.

Beliau berkata, rakyat di Sabah perlu melihat positif kerjasama politik UMNO dan PAS kerana untuk membentuk kerajaan, perlu wujud kerjasama daripada pelbagai parti termasuk PAS serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak.

Rakyat Sabah, katanyq, tidak perlu gusar dengan taawun PAS dan UMNO kerana UMNO/BN tidak akan mengenepikan kepentingan agama lain.

Malahan, katanya, BN/UMNO akan terus mempertahankan kepentingan Melayu Bumiputera dan pribumi Sabah Sarawak. Pada masa yang sama menjaga kepentingan agama dan etnik lain. – MediaUMNO.