Penipuan Fakta oleh Malaysiakini, Pembahagian Kerusi UMNO-PAS Tidak Benar

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Dalam satu laporan tanpa menamakan penulis, Malaysiakini telah membuat satu penipuan atau kenyataan tidak tepat bahawa penyatuan ummah antara UMNO-PAS akan menyebabkan UMNO memberikan kerusi-kerusi tradisinya kepada PAS dan ini kononnya bagi mencapai keseimbangan pembahagian kerusi sebanyak 50-50.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah satu penipuan oleh Malaysiakini.

“Jika ia benar, saya menuntut Malaysiakini untuk mendedahkan sumbernya, yang saya percaya tidak pun wujud. Kenyataan seperti ‘menurut sumber’ adalah sekadar untuk mengaburi mata pembaca,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ini kerana, katanya, dalam Piagam Kerjasama UMNO-PAS yang akan dimeterai pada September nanti, tidak wujud perbincangan atau sebarang penetapan kerusi kerana kedua-dua parti berasakan bahawa adalah pramatang untuk perkara seperti pembahagian kerusi dibincangkan sekarang.

“Sebaliknya, fokus piagam kerjasama kedua-dua parti ini adalah untuk memperkemaskan tata kelola bagi menjayakan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Malah, keutamaan UMNO-PAS kini adalah menjadi suara dan pembela kepada orang Melayu Islam serta mencari jalan ke hadapan yang terbaik untuk Malaysia secara keseluruhannya. Ini adalah perkara yang dilihat tidak diberikan perhatian oleh Kerajaan sekarang.

“Saya amat kesal dengan tindakan Malaysiakini yang terlalu berpolitik dan terlibat secara langsung dalam usaha mensabotaj kerjasama penyatuan ummah ini.”

Bidas beliau, sebagai pengamal media, Malaysiakini sewajarnya memeriksa dan menentu sahkan terlebih dahulu sebarang khabar angin yang diterima oleh mereka.

“Atau tidak cuba membuat sebarang penipuan atau laporan yang tidak tepat. Lebih dikesalkan, ini bukan kali pertama mereka berbuat demikian.

“Saya yakin, ini juga tidak akan menjadi terakhir.

“Saya harap, sebarang usaha mensabotaj kerjasama UMNO-PAS sama ada oleh pihak lawan mahupun oleh pengamal media yang suka menangguk di air keruh secara tidak bertanggungjawab ini tidak akan melarikan fokus semua pihak,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.