MB Perak Gagal Lihat Permainan Licik Dap, Tak Benar Pembangkang Tak Hormat Sidang DUN

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Adalah amat malang jika YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak dapat melihat permainan licik Dap yang menguasai Dewan Negeri dan seolah-olah mahu mewujudkan satu lagi kuasa pentadbiran dalam Kerajaan Negeri, tegas Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ahmad Faizal mengenai usul untuk membuat pengisytiharan harta kepada Yang DiPertua DUN yang disifatkan sebagai hanya ‘pengantara’.

“Ini adalah suatu alasan yang amat tidak munasabah kerana, seperti yang saya nyatakan pada sidang DUN berkenaan, usul berkenaan jelas menunjukkan hanya salinan borang berkenaan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, isunya kenapa SPRM hanya diberikan salinan kerana sepatutnya pengisytiharan hendaklah dibuat terus kepada SPRM dan juga timbul persoalan kenapa Yang DiPertua mesti menjadi pengantara?

“Kami juga mempersoalkan bentuk borang pengisytiharaan itu adakah sama dengan borang SPRM, jika sama kenapa perlu diserahkan kepada Yang DiPertua dewan, dan jika berbeza di bawah peraturan manakah kuasa diberikan kepada Yang DiPertua untuk berbuat demikian?

“Adalah tidak benar dakwaan Dato Seri Menteri Besar, Adun Pembangkang tidak menghormati institusi Dewan Undangan Negeri. Beliau harus membaca semula hansard Dewan kerana saya telah tegas pihak pembangkang bersetuju dengan prinsip asas pengisytiharaan harta.

“Kami hanya tidak bersetuju dengan kepada siapa pengisytiharan harus dibuat. Malah kami telah memberi cadangan supaya usul ini dibincangkan semula dalam bentuk bi-partisan.”

Jelasnya, selepas ia dibincangkan barulah ia dikemukakan semula kepada Dewan Undangan seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas ketika membawa usul Enakmen Pesisir Pantai.

“Namun cadangan kami ditolak oleh Speaker.

“Apa yang perlu disedari oleh YAB Menteri Besar Perak ialah sebenarnya pihak kerajaanlah yang mencemar DUN Perak kerana menpergunakan institusi ini untuk mencabul prinsip asas demokrasi iaitu doktrin pengasingan kuasa.

:Hakikatnya usul yang dibuat ini adalah bagi menggunakan DUN sebagai perkakasan kuasa legislatif untuk mengambil alih kuasa eksekutif.” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.