Tuduhan Sorok Duit Skrip Terbaru Dr Mahathir Tutup Kelemahan Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan tohmahan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan terdahulu menyimpan duit di luar negara bagi menggangu PH memulihkan ekonomi sebagai “skrip terbaru” bagi menutup kelemahan urus tadbir ekonomi Kerajaan PH sendiri.

Jelasnua sejak dulu gaya pentadbiran Dr Mahathir tidak berubah di mana beliau (Dr Mahathir) akan menutup kelemahan diri dengan menyalahkan orang lain.

“Inilah stail yang digunakan ke atas ramai musuh beliau termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim dahulu.

“Umum mengetahui, Dr Mahathir sememangnya mempunyai “kepakaran” mencipta skrip memburukkan lawan. Kemudian beliau akan mengulangi skrip itu sehingga mempengaruhi rakyat untuk mempercayainya. Sedangkan semuanya adalah persepsi yang menjurus kepada fitnah politik”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Apa yang dikesal tegas beliau tuduhan memburukkan kerajaan terdahulu oleh Dr Mahathir dilakukan dalam satu wawancara dengan agensi berita Turki Anadoku semasa lawatan rasmi ke Turki.

“Sikap beliau sangat berbeza berbanding dahulu. Dahulu, beliau sentiasa menyelar media asing yang memburukkan negara. Namun, kini beliau pula menggunakan media asing dan menjadi “jurucakapnya”.

“Bagaimapun, saya yakin rakyat sudah bijak dan boleh menilai. Rakyat boleh meneliti fakta sebenar kedudukan ekonomi Malaysia berasaskan angka tunjuk yang ada”, ujarnya.

Jelas beliau lagi ramai tahu bahawa Kerajaan BN mewariskan yang terbaik kepada Kerajaan PH.

Tambahnya fakta membuktikan sebelum 9 Mei 2018 hutang negara ialah RM686.8 bilion, namun ia meningkat sebanyak RM114 bilion menjadikan hutang terkini ialah RM804 Bilion.

“Ringgit daripada RM3.84 berbanding 1USD kita meningkat kepada RM4.11 berbanding 1 US Dollar. Indeks di Bursa Malaysia dulunya ialah 1896 kini merosot kepada 1647.96 hilang lebih 240 mata. Ini gambaran kelemahan Kerajaan PH.

“Justeru itu, kelemahan mengurus ekonomi negara banyak berpunca dari ketidakcekapan menteri-menteri PH. Percanggahan kenyataan sesama mereka sering berlaku. Penipuan fakta ekonomi dan kenyataan kurang cerdik Menteri Kewangan, menimbulkan ketidakyakinan pelbagai pihak termasuk pelabur pada Malaysia. Semua punca kepada kelemahan ekonomi Malaysia”, katanya.

Beliau seterusnya meminta Dr Mahathir menghentikan sikap suka menyalahkan orang lain, sebaliknya lihatlah kelemahan pentadbirannya sendiri yang sudah hilang fokus akibat terlalu banyak krisis dan skandal dalam Kerajaan PH.

“Tumpulah mentadbir negara ini. Kemudian, Perdana Menteri juga harus membuat siasatan, adakah kemungkinan aktiviti ekonomi beliau disabotaj oleh pasukan beliau sendiri? Di samping itu, amalan kronisme, korupsi dan nepotisme juga semakin berkembang dalam Kerajaan PH.

“Apa yang nyata, di bawah Kerajaan PH, banyak aset negara yang sudah dijual ke pihak lain? Di antaranya IHH Berhad, BDO Unibank, dan banyak lagi kepentingan dalam Khazanah Nasional dijual. Kemudian banyak projek yang dulunya PH kritik dilaksanakan semula seperti ECRL, Bandar Malaysia, TRX dan beberapa lagi. Semua ini gambaran ketidakupayaan Kerajaan PH mengendalikan ekonomi negara”, bidasnya.

Paling utama tegas Dr Shamsul lagi rakyat menunggu prestasi sebenar hasil kerja kerajaan PH seperti yang mereka dijanjikan dalam manifesto.

“Sehingga ini, tiada apa pembaharuan dilakukan. Jadi hentilah memberi alasan demi alasan dan mencari kesalahan orang lain. Akuilah kegagalan sendiri”, ujarnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.