MCA, MIC Sila Duduk, Jangan Lari… Terima Kasih Kerana Ada Kala UMNO Sukar – Rauf
ALOR GAJAH, 29 Julai – “MCA dan MIC sila duduk, jangan lari. UMNO tidak akan lupa pada MCA dan MIC yang ada kala waktu pahit dan payah. Terima kasih…,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Jelas beliau, setiakawan yang ditunjukkan oleh MCA dan MIC pastinya akan UMNO kenang dan ia bertambah kuat apabila rakan baharu iaitu PAS datang menghulur tangan untuk bangkit bersama-sama menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kita jadi cukup susah sekarang ini sebab kita tidak pernah terfikir akan kalah. Sebab itu bila kalah kita termenung. Tapi terima kasih kepada MCA dan MIC kerana tetap bersama UMNO di kala payah dan pahit.
“Jadi, UMNO Melaka akan bangkit bersama-sama MCA, MIC dan PAS untuk kita tawan semula Putrajaya,” ujar beliau ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Asahan, semalam.
Tambah Rauf, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 yang lalu bukan bermakna parti keramat ini tidak hebat tetapi rakyat terpedaya dengan janji manis yang ditabur oleh Pakatan Harapan (PH).
“Mereka tebar berita nak hapus PTPTN, nak hapus AES, nak hapus hutang Felda, minyak turun RM1.50, tol hapus dan macam-macam lagi. Tapi ada minyak turun? Minyak angin adalah…
“Ramai yang termakan janji manis ini dan akhirnya apa yang dapat? Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, pandai-pandai undi Pakatan Harapan, habis satu Malaya kena tipu… nak menyesalpun sudah tidak ada guna.
“Baru-baru ini ‘Atuk’ (yang dipercayai merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad) cakap orang UMNO bodoh… saya nak tanya, ada ke menteri PH yang pandai? Nak buat kereta terbanglah, suruh toreh getah dalam musim tengkujuhlah, minum sawit la, tanam nenas tepi pantai la… tengok cerminlah siapa sebenarnya yang bodoh,” bidasnya.
Tegas Ab Rauf, untuk menguruskan negara ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti menguruskan sebuah kedai runcit.
“Maka disebabkan ‘kebodohan’ pimpinan PH hari ini maka negara ini menjadi semakin teruk sehinggakan ekonomi negara terjejas dan yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri,” tegasnya. – MediaUMNO