Isu Air: Pemimpin PH Selangor Didesak Mohon Maaf Pada Rakyat, Kegagalan Memalukan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago didesak memohon maaf kepada rakyat negeri Selangor ekoran kegagalan mereka menguruskan air.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Noorazley Yahya berkata, kegagalan mereka menguruskan air di Selangor walaupun mereka merupakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) di negeri ini amat-amat mengecewakan.

“Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor mengucap tahniah kepada pihak polis kerana telah berjaya menjalankan siasatan tanpa gentar walaupun kejadian tersebut melibatkan syarikat milik kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dilaporkan hari ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini telah mengumumkan bahawa punca pencemaran tumpuhan diesel di Kolam Hang Tuah, Sungai Selangor, minggu lalu adalah disebabkan kecuaian dan bukannya sabotaj seperti yang didakwa oleh pemimpin-pemimpin PH.

“Kerajaan negeri Selangor perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung pencemaran diesel di Sungai Selangor yang disebabkan kecuaian syarikat yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Ketiadaan pemantauan daripada pihak berkuasa terhadap aktiviti-aktiviti yang berisiko seperti ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah kira-kira lima juta penduduk di Lembah Klang terkesan kerana ketiadaan bekalan air,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor juga mendesak pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuat laporan polis palsu untuk melindungi kecuaian syarikat tersebut.

“Dakwaan pencemaran tersebut dilakukan oleh tiga orang pemancing sebelum ini telah menjadi bahan jenaka masyarakat sehingga menjejaskan imej polis itu sendiri,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.