Zahid Pulangkan Paku Buah Keras Kepada Kerajaan PH

IPOH, 28 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata barisan pembangkang hari ini tidak mahu belajar menipu sepertimana pembangkang sebelum ini sebaliknya ‘memulangkan paku buah keras’ kepada mereka yang kini membentuk kerajaan menerusi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dengan mengambil contoh seperti kenaikan harga barang yang sebelum ini kononnya dikaitkan dengan 1MDB dan sebagainya lagi, Ahmah Zahid menambah begitu juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dulunya dianggap dedak telah bertukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Dulu BR1M apabila kita berikan dianggap dedak, tetapi bagaimana pula dengan BSH, kalau dulu mereka tuduh kita dedak, BSH ni apa dia… Apabila ‘purchasing power’ telah berkurangan lihat berapa ‘mini market’ yang telah tutup, kurangnya orang ramai ke pasar malam, kerana apa…harga barang semakin meningkat…harga komoditi makin menurun.

“Jurang ini telah tidak boleh dinafikan…oooo mereka mengatakan hari ini ekonomi dunia berada di dalam satu keadaan yang amat meleset maka kesan perang perdagangan telah memberikan kesan yang negatif kepada Malaysia.

“Dulu kita beritahu bahawa keadaan yang sama dalam keadaan ekonomi global… aaiii…dikatakan ini kerana duit 1MDB dicuri, dirompak, duit GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dirompak, kita tidak mahu belajar menipu macam mereka tetapi kita ‘pulangkan paku buah keras’ kepada mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat, di sini, petang tadi.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, pimpinan UMNO setempat dan rakan ta’awun PAS Ipoh Barat.

Menyambung di dalam ucapannya Ahmad Zahid seterusnya menambah kerajaan yang telah menipu rakyat mesti diganti demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Rakyat mahu menarik semula sokongan terhadap kerajaan yang ada sekarang kerana mereka tersilap langkah dan mereka tidak mahu tertipu lagi di dalam pilihan raya umum akan datang.

“Prestasi mereka terlalu tergelincir daripada apa yang dijanjikan.

“Pengundi atau rakyat yang tersalah langkah dulu seolah-olah mendengar ‘guruh di langit, air tempayan dicurahkan’ bukan setakat air tempayan dicurahkan air di ‘Tasik Banding’ pun dikeringkan,” tambahnya.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.