Usah Gusar Piagam UMNO PAS, Lebih Baik BERSATU Tumpu Urus Parti Sendiri – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Tindakan memperlekeh sebelum mengetahui isi kandungan jelas memperlihatkan kegusaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Piagam UMNO PAS.

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang menasihati Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah supaya menunggu dahulu kandungan Piagam Maufakat UMNO PAS ditandatangani 14 September 2019 ini sebelum mengulasnya.

“Namun membuat andaian dan ulasan sebegini menampakkan kebimbangan beliau dengan Ta’awun UMNO PAS.

“Tunggulah. Berkesan atau tidak maufakat UMNO PAS kepada rakyat, ianya boleh dilihat nanti,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Baru-baru ini di program Bakti Siswa di Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh, Gua Musang, Sazmi mengatakan piagam UMNO PAS adalah piagam yang tidak masuk akal.

Tegas Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, apa yang pastinya Bersatu di Kelantan hanya gah pada nama tetapi tiada apa-apa kekuatan.

“Nasihat saya lebih baik uruskan parti sendiri yang terpaksa membuat pindaan perlembagaan kerana ketidakupayaan mengadakan mesyuarat Bersatu cawangan dan bahagian,” gesanya lagi. – MEDIAUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.