UMNO Tidak Akan Kuat Jika Hanya Bersama PAS Tanpa MCA, MIC

ALONG GAJAH, 28 Julai – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO tidak mungkin kuat jika hanya bergabung bersama PAS tanpa ada MCA dan MIC.

Jelas beliau, penyatuan ummah yang dijalinkan bersama PAS tidak akan meminggirkan MCA dan MIC yang tetap setia bersama UMNO di kala sukar.

“Jangan fikir UMNO gabung dengan PAS terus kuat… Kita akan bergerak ke hadapan bersama-sama kerana kita terdiri dari pelbagai kaum. Jadi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kita bakal menyaksikan UMNO, PAS, MCA dan MIC bersama-sama kembali merampas Putrajaya.

“Wujudnya UMNO kerana agama dan politik, dalam negara ini terdokong kuat kerana agama. Maka sebab itulah terlahirnya Perikatan. MCA dan MIC juga harus ingat, mereka lahir dari roh anak bangsa sebelum merdeka yang mahukan sebuah negara yang merdeka.

“Jadi jangan fikir UMNO akan terus kuat jika hanya bergabung bersama PAS. Tidak boleh, sebab kita terdiri dari pelbagai kaum. Kita akan bergerak ke hadapan bersama-sama Cina, India, Kadazan dan lain-lain bangsa lagi. UMNO juga hormat kepada kesetiaan MCA dan MIC. Maka saya harap, MCA dan MIC juga akan melakukan transformasi seperti UMNO. Bangkit… bangun dan masuk kembali ke dalam saf,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Asahan, di sini hari ini.

Selain itu beliau berharap agar tidak ada lagi pihak yang masih berduka atau tidak dapat menerima kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 yang lalu kerana politik itu ada pasang surutnya.

“Politik itu silih berganti cuma kita sahaja terlalu kecewa kerana terlalu lama memerintah sehingga kita berDNA kerajaan. Maka bila kalah kita rasa amat tersiksa. Sebab itu ada yang lompat parti kerana dalam kamus perjuangan mereka, mereka hanya mahu menjadi kerajaan.

“Saya tidak nafikan matlamat berpolitik memang mahu menjadi kerajaan tapi itu bukan segala-galanya. Apa yang lebih penting adalah penghayatan terhadap misi dan perjuangan. Apakah mesej apakah misi yang nak diperjuangkan dan yang harus kita dokong. Sebab itu bila kalah jangan lupa untuk bermuhasabah.

“Mungkin kita ni ada kelemahan sebab itu rakyat tidak terima kita lagi. Tidak kurang juga ada org UMNO bila sudah lama berkuasa mula diserang penyakit tertentu, jadi alpa, lupa tanggungjawab, diserang penyakit sombong dan lupa pada rakyat. Disebabkan terlalu lama berkuasa kita lupa dari mana datangnya kuasa iaitu daripada rakyat. Mungkin sebab kita makin jauh daripada rakyat maka Allah bagi pengajaran. Jadi, kita harus murnikan semula perjuangan kita agar kekalahan ini membawa kebaikan,” tegas Ahli Parlimen Ketereh itu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.