Ambil Pengajaran Sejarah LDP Di Jepun Untuk UMNO Bangkit Semula – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kebangkitan semula Liberal Demokratic Parti ( LDP ) di Jepun setelah kalah kepada Demockratic Parti Of Japan ( DJP ) boleh dijadikan pengajaran kepada UMNO untuk bangkit semula sebagai parti berkuasa di negara ini.

Jelas beliau ada persamaan berhubung perkara tersebut di mana kalau LDP kalah pada 2009 selepas 50 tahun berkuasa, UMNO BN pula kalah setelah lebih 60 tahun memerintah negara ini.

“LDP yang berkuasa sejak 1955 kalah kepada DJP yang menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat di Jepun sewaktu berkempan.

“DJP menabur pelbagai janji antaranya mahu tingkatkan kedaulatan ekonomi Jepun, mengemukakan reformasi baru skim pencen dan perubatan , kurangkan kos menjaga anak dan pendidikan percuma, dan banyak lagi”, katanya.

Namun demikian setelah 3 tahun memerintah tegas beliau pimpinan mereka (DJP)  diselubungi pelbagai isu termasuk Perdana Menteri pertamanya, Yukio Hatoyama yang terpaksa meletak jawatan akibat skandal rasuah.

“DJP hanya berjaya melaksanakan 30% janjinya kepada rakyat.  Malah, DJP juga membuat pelbagai u-turn dan melaksanakan banyak perkara yang dulunya dikritik DJP sewaktu Kerajaan LDP, umpamanya Pembinaan Empangan Yanba.

“Projek ini dijadikan isu besar kononnya projek mega yang merugikan, tapi dilaksanakan semula bila mereka berkuasa. DJP juga gagal mengendalikan bencana gempa bumi dan isu kebocoran Logi Nuklear Fukushima dengan baik. Ini menambahkan kelemahan DJP”, ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Damansara di sini, Sabtu.

Ekoran kegagalan itu jelas beliau lagi LDP mengambil peluang diketika kelemahan DJP dengan memperkukuhkan partinya.

“Mereka LDP bertekad kembali menjadi kerajaan.
Akhirnya mereka bergabung dengan sebuah parti Agama Budha iaitu New Komeito Parti berhaluan Konservetif di Jepun.

“Maka gabungan ini juga menjadi faktor membolehkan mereka menang semula pada Pilihanraya 2012. LDP bangkit selepas itu dengan lebih kuat berbanding LDP sebelumnya”, kata Dr Shamsul Anuar.

Justeru terang beliau situasi yang dilihat hampir sama ini mesti dijadikan pengajaran dan pendidikan berguna kepada pimpinan dan ahli UMNO.

Kerajaan PH juga jelasnya sehingga ini gagal menunaikan banyak janji dan banyak masalah sedang mereka hadapi.

“Kerana itu UMNO mesti gagah menghadapinya.

“Paling utama kita harus sedar bahawa perpaduan dan kata sepakat pemimpin di semua peringkat menjadi perkara utama yang mesti dilakukan. Ini syarat untuk UMNO kembali berkuasa semula”, ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan seluruh ahli dan pemimpin UMNO betapa cabaran di hadapan sangat besar.

Ini kerana jelasnya lanskap politik di negara ini bakal berubah apabila umur 18 tahun sudah boleh mengundi.

“Semua ini memerlukan Pemuda dan Puteri UMNO memperbaharui pendekatan, bagi mendekati kumpulan ini yang dunia mereka hanya dihujung jari. Ini cabaran sangat besar yang mesti dilalui.

“Saya percaya, UMNO BN boleh kembali berkuasa dengan syarat kita bersatu padu dan setia pada perjuangan parti.  Ketika ini Allah menguji UMNO”, katanya.

Justeru, sebagai pejuang parti tegas beliau seluruh ahli  mesti hadapinya.

“Jangan kecewa dengan ujian ini kerana pasti ada hikmah besar Allah berikan kita ujian ini.

“Jika kita berusaha, yakinlah UMNO akan kembali semula malah boleh hebat daripada sebelum ini”, ujarnya.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Subang merangkap Ahli  Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Harrison Hassan dan kepimpinan UMNO Bahagian Damansara. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.