Sungai UMNO Sudah Jernih, Dulu Keruh – Mohamad

PARIT, 27 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO kini semakin baik dan pulih selepas peristiwa hitam melanda semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

Tegasnya semua pihak digesa jangan mengeruhkan keadaan UMNO sekarang ini.

“Rakyat sudah mulai menyukai UMNO dan ini haruslah berterusan agar UMNO sentiasa relevan di hati rakyat. Hari ini UMNO sudah menjadi sebuah parti perjuangan.

“Sungai UMNO sudah jernih, dulu keruh. Air yang keruh sudah jernih dan mari kita minum sama-sama.

“Jangan biarkan kerbau dua tiga ekor berkubang, keruh lagi air kita. Kalau ada kerbau ini, kita tangkap dan beri amaran jika tidak kita korbankan dia,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Parit, hari ini.

Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat menambah, kini ramai yang mahu kembali kepada UMNO kerana mereka mula sedar tiada harapan dalam parti baharu yang mereka sertai.

“…kekesalan mereka dan ingin kembali kepada UMNO, namun jika mereka ingin kembali mereka harus mengisi borang dan nombor ahli yang baru dan bukannya nombor ahli lama,” ujarnya.

Tambah Tok Mat lagi, untuk kembali menang, UMNO mesti mempunyai strategi yang tepat.

“Dalam perjuangan mesti ada tolak ansur, kita hendak menang. Kita kena menggunakan strategi yang lain, sebagai contoh Negeri Sembilan ada strategi lain, Perak pun sama malah di negeri -negeri lain pun strateginya lain dan kita tidak boleh mengguna pakai satu strategi yang sama.

“Buah sudah merekah (ranum) tapi cara petik buah mesti ada caranya, jangan berebut-rebut ambil buah, masing-masing punya bahagian, masing-masing jangan berebut, nanti buah jatuh dan membusuk di tanah. Ambil elok-elok dan petik elok-elok,” katanya. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.