Kerjasama UMNO Dan PAS Gusarkan Pihak Tertentu, Mula Sebut Penyatuan Melayu

 

KUALA KEDAH, 27 Julai – Kerjasama atau Ta’awun Siyasi antara UMNO dan PAS hari ini dilihat menggusarkan pihak-pihak tertentu sehingga mereka mula menawarkan satu pakej yang lain atas nama penyatuan Melayu.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tiga syarat utama ditekankan jka mereka mahu mengadakan sebarang perbincangan dengan parti berkenaan.

“Atas kegusaran itulah mereka mula menawarkan satu pakej yang lain apabila UMNO dan PAS menubuhkan satu kesatuan fikrah penyatuan ummah, mereka pula penyatuan Melayu. Mereka mahu mengajak parti-parti Melayu untuk bersama-sama dengan mereka.

“Saya memberi syarat dan ini bukan soal berunding. Kalau mahu berbincang pun kami kenakan tiga syarat. Pertama, PAS mesti dibawa bersama jika UMNO dijemput untuk berbincang kerana kita yakin PAS harus bersama-sama dengan kita dan kita harus bersama dengan PAS. UMNO tidak akan mengkhianati PAS,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pimpinan UMNO setempat serta MCA dan MIC termasuk rakan Ta’awun, PAS Kawasan Kuala Kedah.

Sambung Ahmad Zahid lagi, syarat kedua ialah jangan minta ahli-ahli UMNO untuk melompat kepada parti mereka dan jangan minta UMNO dibubarkan kerana ahli UMNO merupakan mereka yang setia kepada parti.

“Ketiganya, kita tidak akan berbincang selagi Dap menjadi parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH),” Tambahnya.

Dalam perkembangan sama beliau turut memberi keyakinan bahawa agama dan bangsa lain akan dijaga sepertimana yang dibuktikan ketika Barisan Nasional (BN) serta Perikatan menerajui negara sebelum ini.

“Ini akan kita buktikan sepertimana kita pernah buktikan ketika kita menjadi kerajaan di bawah perikatan dan BN sebelum ini. Dibuktikan kerajaan Pas di Kelantan bagaimana mereka melakukan keadilan pada agama dan bangsa lain dan begitu juga negeri yang diperintah oleh BN,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengajak seluruh ahli parti untuk terus istiqamah dalam perjuangan.

“Dalam waktu terdekat ini kita akan terus diuji. Ujian ini tetap akan tetap datang untuk melihat siapakah antara kita yang akan tahan dengan ujian. Allah swt tidak akan memberikan ujian kepada orang tidak tahan menanggung ujian. Kita haruslah istiqamah dan mempunyai daya juang, dan daya tahan serta daya saing,” katanya.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.