Wanita UMNO Sabah Desak PDRM, Peguam Negara Bertindak Tegas

KOTA KINABALU, 26 Julai – Wanita UMNO Sabah mendesak pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara bertindak tegas terhadap individu yang sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ketuanya, Datuk Dr Jainab Ahmad Ayib berkata perlakuan tersebut bukan sahaja menggugat ketenteraman awam yang berbilang kaum, malah sengaja menyemarakkan kemarahan orang Islam.

“Perbuatan Wendy Loong bukan sahaja menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama serta kaum di negara ini, bahkan telah mengguris perasaan dan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Perbuatan ini jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan dan sepatutnya dikenakan hukuman berat.

“Penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Wanita UMNO Sabah bersama sayap UMNO Bahagian Sepanggar serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar dan Putatan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB), Wendy Loong kerana menghina Nabi Muhammad SAW dalam media sosialnya itu di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu, semalam.

Turut sama Kasmirah Alipin mewakili Wanita UMNO Sepanggar, Nurmyiti Mappiassei, Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan, Aisyah Ismail, Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar.

Justeru, Dr Jainab mendesak pihak polis segera menahan dan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun FB itu serta mana-mana individu yang dengan sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Rasulullah SAW.

“Tindakan tegas pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Peguam Negara, sepatutnya menjadi isyarat bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu jenayah dan perbuatan yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Sementara itu, Wanita UMNO Bahagian di Sabah yang turut membuat laporan polis terhadap Wendy Loong semalam ialah Tawau, Silam dan Semporna. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.