Cabuli Undang-Undang Negara: Pemuda UMNO Dan NGO Desak Tommy Thomas Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) hari ini mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meletak jawatan kerana gagal bersikap profesional dan telah mencabuli undang-undang negara ini.

Exco Pemuda Muhammad Faiz Hashim berkata, jika kerajaan Malaysia baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) ini benar-benar memegang kepada prinsip ‘rule of law’ dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka Tommy harus dipecat segera.

“Kami menyenaraikan 11 sebab mengapa Tommy harus segera meletak jawatan antaranya adalah campurtangan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim selain wujudnya afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara yang mendeposkan Adib tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesai.

“Selain itu, wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan contohnya pengugguran sepenuhnya kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telah pun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan. Tommy juga gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rome dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.

“… dan terbaru campur tangan Peguam Negara dalam kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang melibatkan Exco Dap Perak. Ini semua jelas menunjukkan Tommy tiada kredibiliti dan tidak layak memegang jawatan sebagai peguam negara,” ujar beliau kepada media di perkarangan Masjid Negara.

Sementara itu Pengerusi TUNTUT A’zlan Abu Bakar pula berkata, desakan agar Tommy meletak jawatan ini akan diadakan di seluruh negara bermula hari ini.

“Gerakan TUNTUT ini bukan satu gerakan bertujuan menghukum mana-mana pihak tetapi ia merupakan satu gerakan yang membawa keresahan rakyat yang merasakan institusi perundangan negara sudah dilihat seperti tidak berintegriti. Menjadi persoalan kini adakah perundangan negara Malaysia ini sebenarnya sudah dicabuli kerana beberapa kes yang melibatkan rasuah dan jenayah melalui peguam negara menunjukkan sedemikian.

“Justeru, TUNTUT akan terus konsisten menjadi satu suara untuk mempertahankan hak rakyat dan juga integriti badan berkuasa di negara ini,” ujar beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.