Butiran Terperinci Tabung Dana UMNO Belum Diputuskan – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR 26 Julai – Butiran terperinci bagi tabung mengumpul dana UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya akan diumumkan sebaik sahaja proses pelaksanaannya selesai.

Namun begitu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memberi jaminan bahawa butiran termasuk kaedah menggerakkan tabung dana dan tarikh pelancarannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut Shamsul Anuar, langkah mewujudkan tabung dana sebagaimana diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, amat penting bagi membantu melicinkan usaha pembiayaan, pengurusan, pentadbiran dan aktiviti parti.

“Ketika ini UMNO telah dan sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan parti ini bangkit semula sebagai sebuah parti utama dalam negara dan langkah ini disifatkan sebahagian langkah memperkukuh UMNO.

“Kita juga mendapat reaksi yang amat baik daripada pelbagai peringkat pimpinan dan ahli UMNO seluruh negara sebaik sahaja Ahmad Zahid mengumumkan untuk mewujudkan tabung dana ini,” katanya, malam tadi.

Ahmad Zahid dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, semalam memberitahu parti itu akan melancarkan tabung bagi mengumpul dana dalam masa terdekat di seluruh negara sebagai persiapan parti terbesar Melayu itu menghadapi PRU-15.

Menurut Ahmad Zahid, tujuan tabung yang akan mendapatkan kerjasama badan profesional bagi menguruskannya itu adalah untuk membiayai aktiviti politik parti yang ketika ini menghadapi kekangan kewangan akibat penyitaan serta tindakan perundangan. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.