Ambil Tindakan Tegas Pihak Hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR 26 Julai – Pergerakan Wanita UMNO menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook, Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan Wanita UMNO Bahagian di seluruh negara akan membuat laporan polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pemilik akaun itu.

Katanya, perbuatan itu jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan dan perlu dikenakan hukuman berat.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama serta kaum di negara ini, bahkan telah mengguris perasaan serta menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Tindakan tegas pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, sepatutnya menjadi isyarat bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekali pun adalah suatu jenayah dan perbuatan yang tidak boleh di kompromi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Noraini berkata, Wanita UMNO menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sama ke atas mana-mana individu yang sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.