14 Sept Akan Jadi Detik Sejarah, Piagam UMNO-PAS Landskap Politik Baru Kuburkan Perseteruan

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap tarikh 14 September 2019 akan menjadi detik bersejarah apabila UMNO dan PAS akan menandatangani piagam bersama.

Katanya, dengan adanya piagam antara UMNO dan PAS maka perseteruan politik puluhan tahun akan terkubur dan lanskap politik baru ta’awun UMNO-PAS bermula.

“Impian dan harapan seluruh rakyat berdekad lama akan tertunai dengan piagam bersama dan Memorandum Persefahaman UMNO-PAS bakal melakar sejarah baru politik Malaysia,” katanya dalam maklumbalas berhubung hal tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO-PAS telah mengeluarkan kenyataan bersama yang diwakili oleh Setiausaha Agung parti masing-masing, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan yang memaklumkan bahawa kedua-dua parti telah memuktamadkan dan akan memeteraikan satu piagam bersama dan satu memorandum persefahaman yang telah siap digubal oleh satu jawatankuasa bersama yang diwujudkan sebelum ini.

Kedua-dua parti telah bersetuju untuk mengadakan satu Majlis Menandatangani Piagam pada 14 September depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC).

Piagam ini akan ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti dan majlis bersejarah ini akan dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan PAS dari seluruh negara. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.