UMNO-PAS Buat Laporan Polis Desak Tindakan Tegas Individu Hina Islam Dan Nabi

SHAH ALAM, 24 Julai – Kepimpinan sayap UMNO dan PAS negeri Selangor hari ini membuat laopran bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun ‘facebook’ Wendy Loong dan ‘Kiub Batu Itu Berhala’ yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sebanyak empat laporan dibuat bersama oleh pemimpin Wanita UMNO Selangor, Dewan Muslimat PAS Selangor, Pemuda UMNO Selangor dan Pemuda PAS Selangor di Balai Polis Seksyen 6, di sini.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, isu ini penting kerana ia bukan kali pertama berlaku.

“Kami menyeru kepada semua umat Islam di seluruh dunia termasuk kepimpinan negara tanpa mengira parti politik untuk bangkit dan menentang perkara seperti ini. Penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW ini tidak boleh dipandang remeh.

“Maka, kami mendesak agar pihak berkuasa menyiasat segera siapakah Wendy Loong dan ‘Kiub Batu Itu Berhala’ ini dan seterusnya menghukum mereka sekeras-kerasnya.

“Jika baru-baru ini individu yang menghina Sultan Selangor dihukum setahun dan saya kira yang ini ini harus dihukum lebih berat supaya jadi pengajaran dan iktibar kepada orang lain,” ujar beliau kepada media selepas laporan polis dibuat.

Ketua Wanita UMNO Selangor Datuk Rosni Sohar pula berkata, umat Islam tidak harus ‘tidur’ dan berdiam diri lagi bila agama Islam dan Nabi junjungan terus dihina.

“Kita harus bangkit dan jangan biar perkara ini berlarutan. Ini sudah keterlaluan dan kita tidak boleh biarkan demi keselamatan dan keamanan negara ini.

“Kalau dibiarkan saya bimbang perkara sebegini boleh mewujudkan ketegangan agama,” katanya.

Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan turut berkata bahawa perkara ini harus diambil tindakan segera.

“Kita adalah rakyat yang cintakan kedamaian, tapi semakin hari semakin berani pihak yang tidak bertanggungjawab mencabar sensitiviti umat islam. Bukan kali pertama agama Islam dan Nabi kita dicabar dan dihina.

“Muslimat PAS Selangor buat laporan polis bukan nak politikkan isu ini tapi kita melihat isu ini sangat besar dan harus diperjuangkan. Bila orang hina Nabi kita maka semua kena bangkit. Janganlah kita tunjukkan rasa cintakan Nabi hanya ketika Maulidul Rasul sahaja.

“Dan jangan kita meletakkan perkara ini hanya orang politik sahaja perjuangkan. Kalau kita tidak bangkit maka mereka akan lebih berani memijak agama Islam,” tegas beliau.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zukapli menjelaskan, tindakan tidak bertanggungjawab ini akan merosakkan keharmonian kepelbagaian kaum di negara ini.

“Bayangkan kalau kita berjiran dengan bukan Islam… bagaimana rasa dan sikap tolong-menolong dan hormat-menghormati akan hadir kalau beginilah keadaan sekarang. Sebab itu kita mendesak agar tindakan diambil segera.

“Saya percaya, perkara yang akan diungkap selepas ada desakan ini adalah mohon maaf. Kita sedia memaafkan sebab itu diajar dalam Islam tapi apakah jaminan perkara ini tidak akan berulang? Sebab itulah tindakan tegas harus diambil segera,” ujarnya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.