Tiada Penyelesaian Konsisten Dan Bersungguh… PH, Utamakanlah Rakyat, Gesa Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih tiada kesungguhan di dalam menjaga kebajikan rakyat.

Tegasnya dalam satu hantaran di Facebook, rakyat sekarang semakin tertekan dengan kos sara hidup.

“Walau Kerajaan PH kata Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan turunkan harga barang, namun kenaikan tetap berlaku. Penyelesaian yang konsisten dan bersungguh tidak dilakukan oleh kerajaan PH.

“Lihatlah apa berlaku. Hutang meningkat RM804 bilion selepas setahun PH memerintah, ringgit menjunam RM4.11 berbanding 1 US Dollar dan dilaporkan akan meneruskan aliran penurunan.

“Bursa Saham jatuh pada 1,657.38 mata berbanding 1,896 mata di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Kebajikan rakyat tidak diutamakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul berkata rakyat semakin mual dengan kerajaan yang bukan sahaja gagal mengutamakan kebajikan rakyat, malah merobek sistem keadilan negara.

“Saya percaya ramai yang mulai bosan. Mual. Apalagi dengan isu moral yang memalu dan merugikan rakyat Malaysia. Betulkan?

“Sampai bila isu ini? Pihak berkuasa perlu bertegas. Tegakkan prinsip keadilan. Berlaku adillah pada rakyat. Kita bimbang kredibiliti institusi pihak berkuasa terjejas ekoran isu-isu seumpama ini.

“Rakyat dan pelbagai pihak sedang menilai,” katanya lagi.

Malah tambahnya, kerajaan PH nampaknya lebih mengutamakan kepentingan politik.

“Kes rogol warga Indonesia, isu video lebih banyak diberikan tumpuan oleh pemimpin kerajaan PH daripada usaha membantu rakyat.

“Dan apabila kepentingan politik diutamakan. Inilah jadinya. Akhirnya soal hak dan keadilan diketepikan,” ujarnya.

Jelasnya lagi disebabkan isu-isu tersebut juga Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara dipertikai oleh rakyat.

“Semua ini menjejaskan reputasi kerajaan PH dan juga institusi penting negara.

“Kerajaan PH bertanggungjawab ke atas semua ini. Kalau tidak diselesaikan ia akan lebih merugikan negara ini,” tegasnya sekali lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.