Perhimpunan Agung UMNO 2019 Bakal Bawa Usul Pindaan Perlembagaan – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang bakal berlangsung November depan akan membawa usul pindaan Perlembagaan sebagai salah satu agenda dalam persidangan tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beberapa elemen terutamanya saranan terhadap usul pindaan Perlembagaan akan dimasukkan sebagai salah satu agenda mengikut Perlembagaan dan peraturan UMNO sendiri.

“Perhimpunan Agung UMNO luar biasa akan ditiadakan sebaliknya usul pindaan Perlembagaan akan dibuat secara usul rasmi di dalam perhimpunan agung itu dan akan dikemukakan oleh Majlis Tertinggi kepada perwakilan keseluruhannya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.

Maklum beliau lagi, MT juga telah memutuskan agar negeri-negeri mengadakan konvensyen masing-masing sebelum Perhimpunan Agung UMNO ini.

“Kami juga telah memutuskan supaya sebelum Perhimpunan Agung UMNO, negeri-negeri akan mengadakan konvensen masing-masing di mana pengerusi dan jawatankuasa perhubungan UMNO negeri-negeri akan mengendalikan konvensyen itu dan perwakilan dari bahagian-bahagian mengikut jumlah tertentu akan turut terlibat di dalam konvensyen berkenaan.”

Katanya, penglibatan ini adalah untuk mengambil kira pandangan-pandangan mengikut isu-isu kontemporari daripada bahagian-bahagian berkenaan untuk dikemukakan dalam bentuk usul atau memorandum yang akan diteliti oleh jawatankuasa pengurusan dan akan dibawa kepada Majlis Tertinggi UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan akan diadakan pada 13–16 Nov depan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.