Kerajaan PH Rosakkan Pentadbiran Awam Dengan Lantikan Politik

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata institusi pentadbiran awam negara telah dirosakkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan lantikan politik sejak awal pentadbiran lagi.

Ujarnya dalam satu kenyataan, sebelum ini rakyat digemparkan dengan lantikan ahli PKR iaitu Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kini Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dari Dap pula telah dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

“Tindakan kerajaan PH bukan sahaja memungkiri janji di mana ingin mewujudkan sebuah sistem perkhidmatan awam yang bebas dari mana-mana pengaruh politik untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian awam.

“Pada hari ini, sektor tenaga lestari merupakan fokus utama Malaysia dalam mewujudkan sebuah negara yang mampan. SEDA telah menerima peruntukan terbanyak pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM 812 juta bagi bajet pembangunan berbanding RM 675 pada tahun 2018.

“Lantikan politik dalam agensi kerajaan yang menguruskan sumber yang banyak ini menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat kerana dilihat mampu mewujudkan ketirisan dan sebagai langkah untuk kepentingan parti khasnya Dap,” tegasnya.

Jelas Dr Najmil, agensi yang memainkan peranan penting itu sepatutnya diterajui oleh golongan profesional di mana bebas dari kepentingan politik dan mempunyai pengalaman dalam bidang ini.

“Kerajaan PH bukan sahaja gagal dalam melakukan reformasi pentadbiran awam, malah merosakkan agensi kerajaan dengan lantikan politik hanya semata-mata untuk kepentingan parti,” katanya.

Justeru itu tambahnya, Pemuda UMNO akan konsisten sebagai agen semak dan imbang dengan memberikan kritikan yang progresif terhadap tindakan kerajaan PH yang semakin hari semakin membimbangkan ini. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.