Timbalan Pengerusi PAC Jadi Pengerusi SEDA… Dijamin Tiada Konflik Kepentingankah?

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Bagi mengelakkan timbulnya isu konflik kepentingan pada masa akan datang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berpandangan adalah lebih baik jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) diberikan kepada orang lain, bukannya Wong Kah Woh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Tegas Wee, kesungguhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menyuburkan amalan demokrasi seperti melantik Pengerusi PAC dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang sememangnya amalan yang baik dan terpuji tetapi apabila Timbalan PAC dilantik menjadi Pengerusi SEDA, ia dilihat sebagai satu langkah ke belakang yang mengakibatkan kesungguhan dan komitmen kerajaan PH yang kononnya berintergriti akan menjadi sia-sia.

“Jangan pula hanya kenyataan ini, saya dituduh sengaja mahu mempolitikkan isu. Sebagai pembangkang, saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai kuasa semak dan imbang kerajaan pemerintah.

“Jika tidak mahu mendengar kritikan saya, dengarlah saranan badan bebas seperti Bersih yang turut mengecam pelantikan Wong.

“Kata Bersih, Wong tidak sepatutnya menerima pelantikan sebagai Pengerusi SEDA atau mana-mana jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Kalau dulu boleh ikut dan sehaluan dengan Bersih yang memperjuangkan keadilan, intergriti dan ketelusan demokrasi, kenapa sekarang tidak? soalnya dalam satu kenyataan dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Wee berkata demikian mengulas mengenai satu pengumuman rasmi berhubung pelantikan Wong sebagai Pengerusi SEDA yang berkuatkuasa 1 Julai lepas, tetapi baharu diumumkan semalam.

Jelaslah tambah Wee lagi, isu yang lebih besar adalah status Wong selain sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timor (Dap), beliau juga Timbalan Pengerusi PAC yang merupakan satu kedudukan yang amat penting.

“Jika kita lihat sebelum ini, Pengerusi SEDA terdahulu seperti Tan Sri Dr Fong Chan Onn, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hassan (pemangku), ketiga-tiga mereka ini tidak menganggotai PAC apatah lagi menduduki kerusi Timbalan Pengerusi PAC.

“Berbeza dengan Wong.

“Bayangkan, apa akan berlaku sekiranya SEDA dibawa dalam siasatan PAC? Tidakkah wujud konflik kepentingan (conflict of interest) memandangkan Timbalan Pengerusi PAC dan Pengerusi SEDA adalah individu yang sama? soalnya lagi.

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam turut memberikan contoh yang sama berkaitan konflik kepentingan apa yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Sebagai contoh, situasi ini sama dengan apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kredibiliti Speaker dipersoalkan berikutan menolak usul pembangkang untuk mengheret Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung tindakan yang mengelirukan Dewan. Guan Eng kata RM19.4 bilion duit bayaran balik GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dirompak sedangkan siasatan PAC mengesahkan sebaliknya.

“Rakyat melahirkan kebimbangan dan mempersoalkan wujud ‘conflict of interest’ yang jelas apabila didapati anak kepada Speaker merupakan Setiausaha Akhbar Lim Guan Eng,” bidasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.