Rakyat Gesa MB Selangor Selesaikan Segera Masalah Air

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pemuda UMNO Petaling Jaya (PPUPJ) menggesa pihak berwajib menyiasat kes pencemaran diesel di muka sauk Loji Rawatan Air Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air hampir 5 juta pengguna di Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur secepat mungkin.

Naib Ketua Pemudanya, Yazid Omar berkata seperti yang dimaklumkan, kejadian seumpama ini telah acapkali berlaku dan alasan digunapakai oleh mereka untuk menutup kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang kini di bawah pentadbiran Kerajaaan Negeri Selangor.

“Ini adalah merupakan insiden kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan penutupan keempat-empat loji rawatan air utama dan menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada penduduk di Negeri Selangor.

“Perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya mengakibatkan kesejahteraan penduduk dan penguna air di Negeri Selangor secara amnya. Kita menyahut pandangan Ketua ADUN Pembangkang Negeri Selangor, YB Rizam Ismail agar Kerajaan Pakatan Harapan harus bertanggungjawab dalam perkara ini disebabkan pentadbiran kerajaan negeri dan pusat adalah di bawah Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya lagi isu air di Selangor dilihat semakin parah walaupun kesemua syarikat pembekalan air di Selangor telah pun menjadi milik kerajaan negeri.

Justeru tegasnya kerajaan negeri perlu fokus dalam menjaga kebajikan rakyat terutamanya krisis air Selangor di mana selama tiga penggal Kerajaan Pakatan Harapan memerintah, mereka masih gagal menemui titik noktah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.