Bajet 2018 Dah Lulus… PH Kejam, Tindas Rakyat Sarawak, Murid Sekolah Turut Jadi Mangsa – Najib

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas kenyataan angkuh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai satu bentuk penindasan serta kekejaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Sarawak dan murid-murid sekolah khususnya.

Najib dalam hantaran di Facebook berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Guan Eng yang mahu Sarawak membayar RM350 juta sebelum fasa pertama projek pembaikan sekolah yang juga bernilai RM350 juta bermula, seolah-olah negeri tersebut yang bersalah kerana sekolah daif belum mula diperbaiki.

Sedangkan tegas Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, di dalam Bajet 2018 yang beliau sediakan, sejumlah RM2.5 bilion telah diperuntukan untuk memperbaiki sekolah yang berada dalam keadaan daif.

“RM500 juta buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia serta masing-masing RM1 bilion di Sabah dan Sarawak.

“Bajet dan peruntukan ini telahpun diluluskan dalam parlimen dan patut dibelanjakan dalam tahun 2018,” katanya.

Tambah Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), beliau kesal PH masih berterusan mempolitikkan isu bajet tersebut.

“Saya tidak pasti peruntukan untuk semenanjung Malaysia dan Sabah telah diberi tapi apabila kerajaan Sarawak menuntut peruntukan RM1 bilion dibelanjakan oleh kerajaan PH bagi sekolah-sekolah daif yang amat memerlukannya, kerajaan PH tak mahu layan.

“Selepas itu, kerajaan PH pula memberi syarat bahawa jika kerajaan Sarawak membayar balik hutang sebanyak RM1 bilion yang belum sampai tempohnya kepada kerajaan pusat, peruntukan untuk sekolah daif ini akan dibelanjakan.

“Kerajaan Sarawak bersetuju dengan syarat ini dan kerajaan PH pun mengambil kesempatan untuk memainkan propaganda seolah-olah mereka baik sangat dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengumumkan bayaran RM1 bilion disalur ke sekolah daif di Sarawak,” ujar Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Walaupun begitu kata Najib, PH masih tidak menepati janji mereka dan sekolah-sekolah daif Sarawak masih tidak mula diperbaiki.

“PH telah mungkir janji untuk memulangkan 20% royalti minyak dan 50% kutipan cukai kepada Sarawak dan Sabah. Tak ingin menyalurkan dana yang telahpun diluluskan dalam bajet.

“Hari itu, Guan Eng pula fitnah bahawa Sarawak akan bankrap. Apabila disangkal dan dikritik hebat kerana dia tak tahu mengira, dia membisu pula.

“Hari ini pula, nak tuding jari dan main politik lagi dengan isu sekolah daif serta pendidikan anak-anak sekolah walaupun ianya jelas PH yang bersalah. Rakyat patut menilai siapa yang jahat,” tegasnya sekali lagi. – MediaUMNO