Semangat Tetap Unggul Dan Membara… Itulah Kekuatan UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kudat, Akram Ismail berkata kekuatan parti keramat UMNO ini tetap unggul bersama akar umbinya biarpun sekarang menerima pelbagai dugaan.

Katanya, walaupun UMNO banyak diperkotak-katikkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) namun semangat juang akar umbi yang ikhlas dalam memperkasakan orang Melayu demi agama, bangsa dan negara terus membara.

“Akar umbi UMNO Kudat masih kuat dan setia, ketua cawangan yang ‘lari’ tidak bermakna semua ahli akan ikut juga….

“UMNO Kudat sudah mula menggunakan media sosial untuk memberi informasi, maklumat dan hal ehwal semasa dengan meminta ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) memuat naik aplikasi kumpulan ‘whatsaap’ dikalangan Ketua Cawangan, sayap-sayap dan juga setiausaha Sayap,” katanya kepada UMNO Online.

Akram menjelaskan, media sosial sangat penting kepada pemimpin-pemimpin cawangan agar mendapat maklumat yang tepat dan telus berkaitan isu yang dibangkitkan kerajaan PH dan seterusnya dapat menangkis dakyah-dakyah dari mereka.

Sehubungan itu UMNO Kudat sentiasa terbuka dengan ahli-ahlinya dan mengambil pendekatan mesra rakyat agar akar umbi tidak longgar dan tidak terpedaya dengan ajakan parti lawan yang sentiasa mahu membinasakan UMNO.

Mengenai mesyuarat perwakilan UMNO Kudat, walaupun dana terbatas namun tetap akan menjalankan persidangan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“Kami akan berusaha untuk mengadakan mesyuarat perwakilan mesyuarat UMNO Bahagian Kudat secara ala kadar dan semeriah yang mungkin diatas faktor kekangan kewangan.”

Untuk rekod, Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan tarikh persidangan UMNO Bahagian pada 15 Jun hingga 15 Ogos ini. Persidangan ini diberi tempoh selama  dua bulan untuk UMNO Bahagian menyempurnakan tanggungjawab tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.