Sampai Bila Rakyat Dimomok Dengan Konspirasi PH ‘Ini Adalah Politik’…
KUANTAN, 22 Julai – Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuantan Mohd Afif Mohd Anuar berkata, senario politik yang dihidangkan oleh Pakatan Harapan (PH) adalah satu perkembangan yang tidak sihat untuk generasi akan datang.
Ujar beliau, sejak kerajaan bertukar tampuk pimpinan, ada sahaja suasana negatif yang dipaparkan oleh kerajaan khususnya masalah dalaman PH dan terbaru adalah persengketaan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali.
“Konspirasi dan propaganda adalah senjata pemusnah utama kepada satu-satu masyarakat. Ia, ada kalanya baik dan ada kalanya membawa malapetaka berzaman lamanya. Senario persengketaan antara kem Anwar dan kem Azmin juga adalah sebahagian revolusi yang akan berlaku sekiranya ia tidak dikawal dengan baik.
“Pemikiran generasi akan datang semakin ‘fragile’ dan mudah mengikut arus jika itu boleh membuat mereka sensasi. Kerisauan yang melanda ini saya yakin dan percaya dirasai oleh 32 juta rakyat di negara ini. Politik Malaysia tidak sihat untuk generasi pelapis kita,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Afif, ketegangan politik dalam PH semakin memuncak apabila timbul ura-ura bahawa Azmin adalah ‘the next in line’ untuk menjadi Perdana Menteri malah ianya semakin ketara apabila Tun Dr Mahathir melantik Azmin menjadi Menteri Kanan.
“Bagai permainan catur, Tun Mahathir menjadikan Azmin sebagai ‘Bishop’ untuk menghuru-harakan PKR dari dalam. Persoalannya, sampai bila senario politik negatif ini akan dimainkan oleh PH dengan alasan ‘ini adalah politik’?”
Tegas beliau, anak muda sudah muak melihat drama dalam PH ini malah mereka mahukan perkembangan yang terbaik untuk negara dan juga rakyat.
“Atas alasan itulah anak muda memilih PH semasa PRU-14 yang lalu kerana mereka mahukan perubahan… mereka mahukan pentadbiran yang dijanjikan oleh PH kononnya mereka adalah lebih baik daripada BN.
“Tetapi kini, bukan pentadbiran baik yang dihidangkan… PH harus ingat, kuasa mengundi adalah ditangan rakyat. Jika sebuah parti yang telah memerintah selama 60 tahun boleh ditumbangkan maka tidak mustahil PH momokan ‘kerajaan sepenggal’ akan menjadi kenyataan,” tegas beliau. – MediauMNO