Sampai Bila Kerajaan PH Mahu Rakyat Selangor Derita Akibat Masalah Air?

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pengerusi Gerakan TUNTUT Malaysia, A’zlan Abu Bakar membidas Kerajaan Negeri Selangor yang seakan tidak meletakkan keutamaan terhadap masalah air walaupun telah membelanjakan hampir RM2.5 billion.

Jelas beliau, masalah air yang sering berulang ini membuatkan rakyat rasa tertekan dan juga terseksa.

“Seharusnya Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari memberi perhatian kepada masalah air berulang ini. Sampai bila rakyat harus dihukum sebegini.. maka TUNTUT merasakan isu ini wajib diberikan kajian dan juga desakan untuk penyelesaian segera.

“Kerajaan Negeri harus menyedari bahawa air merupakan keperluan utama semua rakyat jadi suara rakyat tidak boleh diketepikan kerana mereka membayar untuk perkhidmatan air ini kepada Kerajaan dan bukannya mereka gunakan secara percuma.

“Kerajaan Negeri telah pun membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk mengambil alih pemulihan penuh pengurusan air di Selangor dahulu dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah air di Selangor tapi yang menjadi persoalannya mengapa masalah ini masih tidak selesai walaupun telah berhabis sebegitu banyak,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah A’zlan, TUNTUT juga bersependapat dengan kenyataan Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg. Air Tawar, Rizam Ismail iaitu masalah air berulang ini menjadi bukti kegagalan pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Kita dapat lihat bagaimana Kerajaan Negeri Selangor sering mendabik dada membangga diri kononnya mereka berjaya membawa negeri ini mencapai kejayaan. Kejayaan apa sekiranya masalah airpun mereka gagal untuk selesaikan.

“Kerajaan Negeri seakan sengaja membiarkan rakyat menderita hanya kerana sibuk bermain politik.

“TUNTUT juga membidas kenyataan Kerajaan Negeri Selangor yang mengatakan isu ini timbul kerana ‘sabotaj’ pihak tidak bertanggungjawab. Menteri Besar harus sedar ini masalah yang berulang-ulang. Kasihanilah rakyat Selangor. Janganlah kerana politik rakyat terus dihukum,” tegas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.