Ungkapan Bodoh Untuk Tutup Kelemahan BERSATU, Krisis Kerajaan PH – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menganggap menggunakan ungkapan bodoh adalah usaha Dr Mahathir mengalih perhatian terhadap krisis yang berlaku pada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Katanya, ia juga adalah alasan menutup kelemahan BERSATU.

“BERSATU yang hanya menang 13 Kerusi Parlimen berbanding 55 Kerusi UMNO di PRU14 sehingga kini gagal mengadakan persidangan di peringkat cawangan dan bahagian.

“Kegagalan ini menyebabkan BERSATU terpaksa mengadakan Persidangan Agung Khas di MAEPS bagi meminda perlembagaannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, ini lambang kegagalan pimpinan BERSATU menguruskan partinya.

“Jadi, untuk menutup kelemahannya beliau cuba alihkan perhatian kepada isu lain dan ini strategi biasa beliau.

“Bagaimanapun sikap Dr Mahathir yang suka memperlekeh dan memburukkan (ridicule) sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya, bukanlah kali pertama.”

Bidasnya, ini menyerlahkan sifat ego beliau yang tinggi.

“Justeru kita harap, beliau menghentikan sikap melabel orang lain, semata-mata kerana tidak memenuhi kehendaknya.

“Apa lagi, tuduhan Dr Mahathir kononnya UMNO dipenuhi ‘pemimpin bodoh’ kerana yang cerdik tidak diberi peluang memimpin parti adalah satu tuduhan liar serta tidak berasas.

“Lebih 60 tahun UMNO BN memerintah. Beliau sepatutnya tahu, kebanyakan dasar negara yang membawa kepada kemajuan negara, rakyat dan orang Melayu datang dari idea, pelbagai lapisan pemimpin dalam UMNO bersama BN.”

Katanya, Dr Mahathir lupa, banyak ‘sekatan’ kemasukan orang bijak pandai menganggotai UMNO, terutama orang muda, sebenarnya berlaku di zaman 22 tahun beliau memimpin UMNO.

“Hinggakan mereka yang berpotensi menjadi Presiden, disingkirkan dengan muslihat politiknya.

“Sejarah buktikan ramai pemimpin disingkir oleh beliau.

“Realitinya selepas zaman Dr Mahathir, UMNO melakukan pelbagai perubahan terutama sistem pemilihannya agar UMNO lebih demokratik dan terbuka.”

Kesannya, katanya semakin ramai orang Melayu yakin akan kematangan pimpinan UMNO.

“Ini membezakan UMNO berbanding BERSATU,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.