Guan Eng, Menteri Suka Menipu Dalam Dewan Rakyat… Tapi Speaker Gagal Bertindak – Dr Shamsul

 

SEGAMAT, 21 Julai – Bukan sahaja isu wang tuntutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sahaja Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berbohong dalam Dewan Rakyat, bidas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegasnya, banyak lagi perkara yang dibohongi oleh Guan Eng ketika sidang Parlimen antaranya mengenai dongengan hutang negara.

“Sebenarnya dalam Dewan Rakyat, bukan pasal GST sahaja dia berbohong, berkali-kali dia bohong macam-macam pembohongan dia buat. Bukan sahaja dia tapi Mujahid (Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Menteri Luar (Datuk Saifudin Abdullah) pun tipu.

“Kalau zaman Barisan Nasional (BN) kalau wakil rakyat atau menteri menipu pasti kena bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas. Tetapi hari ini tidak berlaku, bila Guan Eng tipu mengenai wang tuntutan GST, speaker tidak mahu ambil tindakan dengan alasan tidak ada perkara-perkara yang menjadi kesalahan sewaktu Guan Eng bercakap.

“Kita pun hairan pasal apa dia tak berani ambil tindakan, rupa-rupanya anak dia Setiausaha Akhbar kepada Guan Eng,” kata Dr Shamsul ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang di sini, petang semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Dr Baharom Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Labis, Azhar Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip.

Hadir sama kepimpinan parti-parti komponen BN dari MCA dan MIC serta MyPPP dan PAS Kawasan Sekijang.

Pada Ogos tahun lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menuduh BN merompak RM19 bilion wang tuntutan GST tetapi hasil dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada kehilangan wang seperti yang didakwa oleh Guan Eng.

Tambahnya, pembohongan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap mengenai hutang negara adalah semata-mata mahu memburukkan kerajaan terdahulu, BN.

“Hutang negara kita (semasa BN) adalah RM686 bilion sahaja, sesiapa sahaja boleh akses dan tengok jumlah hutang itu tapi terang-terang Guan Eng tipu hanya semata-mata nak tunjukkan UMNO, BN mewariskan negara ini dalam keadaan yang cukup teruk dengan hutang yang tinggi.

“Tapi dalam tempoh lebih setahun ini dia telah meningkatkan jumlah hutang negara tak kurang dari RM104 bilion.

“Saya percaya kalau amalan kewangan cara Guan Eng ini diteruskan tanpa bantahan dari kerajaan, pasti hutang akan mencecah RM1 trilion. Itu tidak termasuk wang yang diambil dari Petronas sebanyak RM82 bilion,” bidasnya lagi.

Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata selain membuat hutang, kerajaan PH juga tidak berkeupayaan membawa pelabur masuk walaupun pelbagai negara dilawati oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa ini berlaku? Kerana kerajaan PH tiada keupayaan untuk mewujudkan keyakinan kalangan pelbagai pihak, pelabur tidak berani masuk.

“Nak melabur macamana.. Tun Mahathir pergi ke Jepun, China, Amerika Syarikat, Pakistan.. satu negarapun tak mahu melabur ke negara ini.

“Pergi ke Jepun bukan bawa balik pelaburan. Ini bukan bohong, boleh tengok dalam rekod, yang dibawa balik ialah Bon Samurai, hutang RM7.6 bilion bersamaan lebih kurang 200 bilion yen,” katanya.

Lebih mendukacitakan kesalnya, PH juga galak menjual aset-aset negara.

“Yang lebih mendukacitakan kita, dia jual syarikat negara kita, IHH Healthcare Berhad di bawah Khazanah Nasional Berhad syarikat yang cukup besar bertaraf antarabangsa dalam bidang perubatan berbelas hospital di Turki, di Singapura.

“Bukan itu sahaja, di Filipina BDO Unibank dijual dengan harga RM415 juta kepada individu yang namanya tidak dinyatakan sebagaimana yang dilaporkan oleh majalah kewangan antarabangsa,” ujarnya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.