UMNO Tolak Sebarang Perundingan, Kerjasama Parti Ada Hubungan Dengan Dap -Zahid

MACHANG, 20 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti atau pemimpin yang bersekongkol dengan Dap dan menolak sebarang bentuk perundingan dengan pihak berkenaan.

Pada masa yang sama beliau turut menekankan parti itu tidak akan menggadaikan kerjasama dengan PAS malah akan terus diperkukuhkan serta diterjemahkankan sekaligus merealiasasikan hasrat rakyat yang ingin melihat kerjasama tersebut dijayakan.

“Sekali lagi saya memberitahu Setiausaha Agung jangan terima perundingan… kerana UMNO dan PAS tidak akan menggadaikan kerjasama antara kedua-dua parti atas nama taawun siyasi kerana kita menolak Dap.

“Insya-Allah dengan mengambil kira kerjasama ini dan PAS serta rakan-rakan komponen BN yang lain termasuk rakan-rakan di Sabah dan Sarawak ertinya kerjasama ini kita akan terjemahkan dengan kerjasama secara menyeluruh.

“Kita berjanji kita akan jaga masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai bangsa secara adil. Keadilan ini menjadi keutamaan… bukan berjanji di dalam manifesto apabila tidak dapat dilaksanakan manifesto bukan kitab suci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Machang, di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua UMNO Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, rakan taawun PAS serta pimpinan UMNO lain.

Ahmad Zahid seterusnya menambah begitu juga dalam soal pembohongan yang mana dilihat dilakukan secara terbuka oleh kerajaan hari ini.

“Begitu juga hutang negara kononnya RM1 trilion… jelas agensi penarafan malah Bank Negara menyebutkan hutang negara cuma RM686 bilion. Dulu mereka mengatakan hutang negara menyebabkan Malaysia akan bangkrap tetapi selepas setahun hutang meningkat kepada RM767 bilion… bukan makin kurang tetapi makin meningkat.

“Kalau benar syarikat-syarikat dijual, kalau benar syarikat-syarikat Tabung Haji juga ‘dilelong’, kononnya untuk membayar hutang negara kenapa hutang makin meningkat. Ertinya rakyat dibohongi oleh kerajaan yang ada sekarang ini yang angka-angka tadi disebutkan oleh menteri kewangan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.