UMNO Tolak DAP

KOTA BHARU 20 Julai – UMNO tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP walau dalam apa jua keadaan sekali pun walau ditawar untuk menjadi kerajaan bersama-sama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana perjuangan DAP amat bertentangan dengan parti itu malah tindak-tanduk mereka mengeruhkan keharmonian negara.

Beliau berkata, rakan mereka dalam kerjasama penyatuan ummah, Pas juga berpendirian yang sama menolak sebarang kerjasama dengan DAP.

“Keadaan politik negara ambil tidak stabil. Dan saya ingin tegaskan bahawa UMNO menolak sama sekali sebarang berbentuk hubungan atau kerjasama dengan DAP.

“Pas juga dalam mesyuarat bersama baru-baru ini menolak DAP kerana jelas parti itu berpegang kepada prinsipnya ‘Malaysian Malaysia’ yang bertentangan dengan asas penubuhan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman; Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaari bersama pimpinan Pas kawasan Pengkalan Chepa.

Mahdzir berkata, cara yang terbaik untuk mengembalikan semula kepada rakyat dengan memilih semula kerajaan yang lebih baik.

“Cara yang terbaik ialah bubar Parlimen dan adakan Pilihan Raya Umum Ke-15. Kerajaan Pakatan Harapan sudah hancur. Macam-macam yang jadi, ada lelaki sama lelaki, di Perak, Exco DAP dituduh merogol. Kegelisahan rakyat, rakyat sudah bosan, kos sara hidup tinggi.

“Keadaan amat tidak menentu, PKR bergaduh bersama PKR, DAP menukar dasar kerajaan mengikut kehendaknya dan banyak lagi. Keadaan tidak elok untuk negara kita dan rakyat akan terus menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.