UMNO Mesti Bangkit, Tekad Kukuhkan Kekuatan – Dr Shamsul

 

SEGAMAT, 20 Julai – Sesiapa sahaja tidak boleh menafikan hakikat bahawa UMNO lahir kerana agama, bangsa dan negara, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Begitu juga katanya, sesuai dengan perubahan landskap politik serta kesan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, UMNO sedang dan akan lakukan perubahan termasuk melalui pindaan perlembagaan UMNO yang akan dilakukan tidak lama lagi.

“Namun prinsip perjuangan UMNO kekal, malah akan diperkukuhkan lagi. Semua ini dilakukan bagi menghadapi cabaran dan suasana yang sudah berbeza.

“UMNO akan tetap kekal menjadi parti memperjuangkan kepentingan Melayu serta Bumiputera dan menjaga kesucian agama Islam.

“Dalam keadaan yang sama menghormati dan membela kepentingan kaum dan agama lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara,” jelasnya lagi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Dr Baharom Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Labis, Azhar Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip.

Turut hadir, kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) dari MCA, MIC serta MyPPP dan PAS kawasan Sekijang.

Tambah Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong oleh kerana itulah, UMNO sangat berbeza berbanding PKR, Bersatu, Amanah apatah lagi Dap.

“Dap kita lihat walaupun pendekatannya kini berbeza, hakikatnya ideologi, prinsip serta agenda tersurat perjuangannya tetap tidak berubah.

“Malah dengan kuasa yang dimilikinya kini ianya diperkukuhkan lagi. Agenda Malaysian Malaysian tetap kukuh dilaksana Dap menerusi semangat Malaysia Baharu Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Manakala Amanah dilihat parti yang hanya melaksanakan agenda Dap. Apa saja berkaitan Dap, Amanahlah terlebih dahulu akan bersuara,” bidasnya.

Begitu juga bagi parti Bersatu dan PKR yang lahir asalnya kerana kecewa tidak dapat memegang kuasa dalam UMNO, tiada agenda perjuangan yang jelas.

“Perjuangan mereka terutama PKR hanya berkisar agenda jawatan Perdana Menteri.

“Sebab itu kita lihat, perjuangan PKR sejak dulu hanya bertujuan menjayakan agenda Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Malah agenda ini tiada kesudahan dan ketika ini kita dapat lihat bagaimana krisis sedang berlaku dalam PKR serta Kerajaan PH semuanya masih berkaitan isu Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya lagi.

Kerana itulah terangnya lagi amat malang kepada rakyat Malaysia apabila masih lagi dibelenggu dengan perebutan kuasa politik kedua-dua mereka.

“Berpuluh tahun dua watak ini, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim menyebabkan politik negara sentiasa bergelora.

“Rakyat berpecah, ekonomi merosot, kebajikan rakyat tidak dibela kerana krisis politik mereka berdua.

“Kerana itu pada saya kedua mereka mesti ditolak oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Akibat agenda yang tidak jelas itulah banyak isu rakyat tidak terbela, bidasnya lagi.

“Kerajaan PH menjadi kerajaan yang tidak menjaga kepentingan rakyat.

“Hanya menjaga kumpulan dan individu tertentu serta tidak membela kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” tambahnya.

Justeru itu, Dr Shamsul berkata pendukung UMNO mesti perkukuhkan kekuatan.

“Rapatkan barisan kita disemua peringkat. UMNO mesti bangkit semula sebagai parti utama dan kuat dalam negara ini.

“Kita mesti ambil semula kuasa untuk mentadbir negara ini kerana kita tidak boleh biarkan pemimpin dan Kerajaan PH yang tiada agenda membela agama, bangsa dan negara ini terus menjadi kerajaan.

“Lihatlah, ekonomi negara menjadi masalah, keharmonian kaum, agama dan kepentingan Melayu tergugat. Dan banyak lagi kerosakan dilakukan oleh Kerajaan PH jika mereka terus memerintah negara ini,” tegas.

Dalam ucapannya Dr Shamsul berkata hasil agenda perpaduan ummah, UMNO dan PAS akan menandatangani Piagam tidak lama lagi.

“Yakinlah bersama rakan-rakan dalam BN kita akan bangkit dan muncul semula sebagai parti terkuat dan terbaik di Malaysia.

“Kita akan tawarkan yang istimewa untuk semua rakyat Malaysia bila tiba masanya nanti,” ujarnya.

Namun demikian pesannya resepi utama bagi pendukung parti adalah mesti bersatu padu.

“Ketepikan perkara yang boleh merosakkan agenda besar kita. Semua pemimpin dan ahli UMNO mesti berjuang untuk rakyat. Rakyat mesti kita utamakan.

“Dan kita mesti bersedia dari sekarang kerana sebarang kemungkinan akan berlaku kepada Kerajaan PH yang tidak stabil ketika ini,” katanya. – MEDIA UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.