Piagam Kerjasama UMNO Dan PAS Akan Ditandatangani Dalam Masa Terdekat – Zahid

MACHANG, 20 JULAI – Piagam Kerjasama UMNO dan PAS akan ditandatangani dalam masa terdekat dan bakal memahat sejarah yang tersendiri antara kedua-dua parti dalam arena politik tanah air untuk kepentingan rakyat dan negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata insya-Allah presiden kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama berkenaan yang telah dimuktamadkan.

“17 Julai lalu kita telah memuktamadkan piagam kerjasama antara UMNO dan PAS. Insya-Allah kita akan menyaksikan penandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS ini dalam waktu terdekat.

“Presiden kedua-dua parti akan mencatat sejarah dan bagi pihak parti UMNO serta PAS piagam yang ditandatangani untuk menterjemahkan harapan rakyat seluruh negara terhadap kerjasama ini. Marilah kita kekal bersatu, wujudkanlah ukhuwah yang baik dikalangan kita.

“Kerjasama UMNO dan PAS telah tiba masanya untuk kita terjemahkan dengan sepenuhnya dan kita wajib terjemahkan di dalam bentuk untuk melihat jumlah pengundi di dalam PRU akan datang yang akan berjumlah 22.75 juta pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Machang, di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersama rakan taawun PAS serta pimpinan UMNO lain.

Katanya lagi bagaimana kedua-dua parti mahu mendekati rakyat yang didaftarkan secara automatik kelak dan anak-anak muda yang akan mengundi untuk tempoh terdekat ini.

“Sama-sama kita lakukan pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan hati nurani mereka. Kalau mereka berniat dengan UMNO biar mereka menjadi jentera kita dan kalau mereka berniat kepada PAS, PAS ajak jadi jentera mereka… kalau belum berparti UMNO dan PAS ajak mereka sebagai jentera dan pengundi kita,” tambahnya.

Tambahnya lagi suasana hari ini telah berubah dan perubahan berkenaan berlaku kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kegagalan kerajan PH sebagai kerajaan songsang yang menyalahkan semua orang selain daripada diri sendiri harus digantikan oleh kita. Dalam keadaan itulah saya menyeru diri saya dan kepada semua perkukuhkan perpaduan di kalangan kita, perpaduan antara UMNO PAS, ahli-ahli parti komponen dan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga perpaduan semua kaum dan santuni perbezaan pendapat dikalangan kita, kita hendaklah mencari titik pertemuan dan bukannya mencari titik perbezaan di kalangan kita… insya-Allah,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.