Tak Habis-habis Cukup Bilang… Cukup Bilang… Rakyat Dah Muak – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat sebenarnya sudah muak dan jelik dengan permainan ‘bakal’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus-terusan memaklumkan mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya kisah cukup bilangan kerusi Parlimen ini sudah lama didengar tapi tiada kenyataan sehingga ke hari ini.

“Kisah cukup bilang, cukup bilang, cukup bilang … tentunya bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika benar apa yang disebutkan Ahli Parlimen Port Dickson itu benar seperti dalam sidang media di Dewan Rakyat, saya ingin mengesyorkan pertemuan selanjutnya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada UMNO-Online.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan bahawa Anwar haruslah mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menjelaskan kedudukannya dan bukannya sekadar menyatakan bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat apa yang berlaku di negeri Perak pada ketika itu, Sultan Perak memanggil seorang demi seorang untuk mengesahkan bahawa mereka bersetuju dan menyokong Menteri Besar pada masa itu.”

Ini bererti katanya, jika Anwar berkeinginan menjadi Perdana Menteri, beliau bolehlah mengikuti kaedah dan cara yang pernah berlaku di Perak.

“Sebenarnya, walaupun beliau berkeinginan menjadi Perdana Menteri namun perkara yang paling penting adalah kestabilan politik kerana ia amat berkait rapat dengan pelabur-pelabur asing yang ingin melabur di negara ini.

“Kenapa negara kita maju setakat apa yang ada sekarang? Ini kerana ada pelabur asing datang melabur, pelancong, pasaran saham yang stabil dan yang paling penting adalah kestabilan politik. Kalau kestabilan poltik tidak ada… inilah berlaku sekarang.

“Hilangnya berbilion-bilion dalam ekonomi seperti Khazanah, Tabung Haji, Felda rugi, malah KWSP dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) pun tidak memberi pulangan yang sewajarnya.”

Tegasnya, keadaan ekonomi ini adalah berhubung kait rapat dengan ketidakstabilan politik masa kini.

Semalam, dalam sidang media di Parlimen Anwar mendakwa mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

Terdahulu, awal pagi Khamis, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan 14 Ahli Parlimen mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan parti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.