Penduduk Ternanti-nanti Janji PH… Adakan Segera ‘Townhall’ Pencemaran Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 19 Julai – Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mengadakan perjumpaan ‘townhall’ bersama penduduk bagi merungkai isu pencemaran toksik di Pasir Gudang, namun, sehingga hari ini, penduduk ternanti-nanti akan butiran serta ketentuan perjumpaan ‘townhall’ tersebut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, apa yang lebih mengecewakan adalah kejadian terbaru yang berlaku semalam (Khamis, 18 Julai 2019) melibatkan hampir 40 orang pelajar sekolah yang terpaksa mendapatkan rawatan susulan setelah mengalami simptom pencemaran toksik.

“Ianya merupakan gelombang yang ketiga sejak kejadian pertama berlaku pada 20 Jun 2019 yang lalu, beberapa bulan selepas tragedi Sungai Kim Kim.

“Untuk itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang mendesak Kerajaan Negeri Johor agar segera mengadakan perjumpaan ‘townhall’ bersama penduduk dan masyarakat Pasir Gudang pada kadar segera.


“Ini merupakan satu tuntukan kepada janji yang telah dibuat oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO Kesihatan) YB Mohd Khuzzan Abu Bakar sendiri,” tegas beliau dalam kenyataan media hari ini.

Sesungguhnya, katanya, penduduk Pasir Gudang tidak rela dimomokkan lagi dengan pengumuman yang bersifat indah khabar dari rupa.

“Walaupun kerajaan negeri beri jaminan keadaan selamat dan terkawal, namun sebaliknya yang berlaku di lapangan. Rakyat bukan sahaja dibiarkan resah kerana bimbang akan keselamatan dan tahap kesihatan di Pasir Gudang, malah kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai fakta tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku.

“Maka, adalah wajar agar Kerajaan Negeri Johor memberi keutamaan untuk mengadakan perjumpaan ‘townhall’ bersama penduduk Pasir Gudang pada kadar segera.”

Dalam hal ini beliau merujuk kepada laporan berita bertarikh 7hb Julai 2019, yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata kerajaan negeri Johor akan mengadakan satu sesi bersama penduduk Pasir Gudang atau ‘townhall’ bagi membincangkan isu pencemaran kawasan itu pada minggu berikutnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.