UMNO Dan PAS Selangor Terus Bergerak Ke Hadapan

SHAH ALAM, 18 Julai – UMNO Selangor semakin komited meneruskan agenda perpaduan ummah untuk kebaikan bukan sahaja masyarakat Melayu / Islam tetapi juga kelompok masyarakat lain tanpa mengira bangsa dan agama, ujar Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Menurutnya, UMNO dan PAS Selangor akan terus merangka, menyusun dan menggerakkan strategi serta khidmat bakti kepada masyarakat di 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dari Sungai Air Tawar hingga ke Sungai Pelek.

“Kerjasama dua parti terbesar orang Melayu ini juga telah membuka mata banyak pihak yang bukan sahaja tidak senang duduk tetapi majoriti yang lain mendambakan politik matang yang menjurus kepada khidmat bakti yang sepatutnya.

“Percayalah UMNO dan PAS Selangor tidak akan mensia-siakan harapan dan kepercayaan kelompok majoriti tadi dalam memberikan khidmat terbaik walaupun kami mempunyai wakil yang tidak ramai di Dewan Negeri Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ikrarnya juga untuk terus berganding bahu bersama PAS dan rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti MCA, MIC, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan bebas lain menjadi blok pembangkang yang berkesan serta menjadi alternatif kepada pentadbir sedia ada.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mat Nadzari merakamkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan Badan Perhubungan PAS Selangor yang telah sempurna mengadakan mesyuarat pertamanya di bawah teraju Pesuruhjaya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“PAS Selangor turut mengumumkan barisan kepimpinan baharu mereka yang menampilkan iltizam dan kesungguhan untuk sama-sama UMNO dan BN negeri menjadi pembangkang yang efektif bukan sahaja di peringkat Dewan Negeri Selangor tetapi juga di setiap pelusuk negeri,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.