Blok Pembangkang Main Peranan, Sudah Tiba Masa Kerajaan Beri Kesamarataan – Shahidan

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan Blok Pembangkang memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang negara dapat dibentuk sebagaimana undian menyokong usul bagi pindaan yang dilakukan.

Katanya, ini terbukti apabila blok pembangkang menyatakan sokongan terhadap usul mengenai laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri di Dalam Negeri Sabah kali keenam tahun 2017, diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

“Ini menunjukkan bahawa sokongan pembangkang telah membolehkan kedua-dua usul semalam dan hari sebelumnya lulus… peranan oleh pembangkang yang memberikan sokongan hebat.

“Sudah tiba masanya Tun Mahathir tunai janji dengan memberi keadilan dan kesamarataan,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian merujuk kepada dua usul yang berjaya diluluskan termasuklah berkaitan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

“Pembangkang telah menyokong dengan 211 undi untuk RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan boleh dikata seratus peratus ahli Parlimen terlibat manakala, semalam sebanyak 158 undi telah menyokong walhal kerajaan memerlukan undi sebanyak 112.

“Dengan undi yang begitu besar diberikan menunjukkan bahawa pembangkang mempunyai peranan yang sangat bererti dalam meluluskan usul tersebut.

“Kalau semalam pembangkang tidak menyokong kerajaan, kerajaan akan kalah… sekiranya pihak pembangkang tidak menyokong juga maka usul ini tidak dapat diluluskan.”

Ini bererti katanya, blok pembangkang telah memberi undi yang penting sedangkan sekiranya pembangkang tidak menyokong, undi ini akan terlepas dan usul tidak akan berjaya diluluskan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.