UMNO Mahu Anjur Seminar Ulas Pencemaran Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Atas alasan Kerajaan Negeri Johor tidak membuat sebarang pengisytiharan meyakinkan bahawa Pasir Gudang adalah kawasan yang selamat ekoran tragedi dua kes pencemaran pada tahun ini, UMNO mahu mengadakan seminar bagi membincangkan perkara tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, memandangkan tidak kelihatan sebarang usaha serius pihak kerajaan negeri, beliau akan mengusahakan satu seminar atau sesi sumbang saran bersama-sama kumpulan pakar bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih terbuka dan mendalam.

Jelasnya, seminar itu antara lain memberikan perhatian untuk mendapatkan pandangan serta ulasan pakar berhubung dua kes pencemaran di Pasir Gudang dan membincangkan amalan terbaik langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk memperkasakan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu katanya, seminar bertujuan mencari jalan lebih praktikal, selamat dan lestari kepada ekonomi, penduduk setempat dan alam sekitar.

“Susulan kes pencemaran gas beracun dan sisa kimia di Pasir Gudang, saya berasa terpanggil untuk terus memastikan yang tragedi serupa tidak berulang.

“Sehingga kini, kerajaan negeri tidak membuat sebarang pengisytiharan yang meyakinkan bahawa Pasir Gudang adalah kawasan yang selamat.

“Malah tidak wujud sebarang penegasan daripada pihak kerajaan negeri tentang bagaimana mereka akan memastikan Pasir Gudang dan segala kepesatan industri di sana diuruskan dengan cara yang terbaik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kata Mohamed Khaled, jangkaan awal untuk menganjurkan seminar itu adalah pada bulan depan.

Beliau mengalu-alukan kerjasama dan kepakaran daripada sesiapa sahaja bagi menjayakan seminar tersebut demi kepentingan rakyat di Pasir Gudang.

Jelasnya, mereka yang berminat boleh menghubungi penyelaras seminar, Onn Mahathir menerusi talian 017-7835103 atau melalui Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang menerusi talian 07-3822095. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.