Menteri Sahkan PSR Beri Kesan Buruk Kepada Nelayan, Apa Tindakan PH?

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius menangani isu projek Penang South Reclamation (PSR) yang banyak memberi kesan buruk kepada rakyat.

Jawapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Dewan Rakyat menjadi bukti projek tambak laut di selatan negeri Pulau Pinang itu sememangnya memberi kesan yang buruk bukan sahaja kepada nelayan bahkan alam sekitar secara keseluruhannya, tegasnya lagi.

“Menteri di dalam jawapan beliau mengesahkan bahawa lebih 4,000 orang nelayan; dan hampir 1,000 pengusaha penternakan akuakultur bakal menerima kesan daripada projek tersebut.

“Menteri turut mengesahkan bahawa agensi-agensi di bawah Kementerian telahpun menghantar ‘laporan rasmi’ kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai impak dan kesan buruk projek berkenaan kepada industri perikanan.

“Walaupun tidak ada komitmen yang dapat diberikan waktu ini untuk membantah projek berkenaan; namun saranan dan ketegasan Menteri saya amat hargai dan sanjung tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Semalam, sewaktu Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Reezal membuat pertanyaan yang spesifik kepada Salahuddin berkenaan nasib nelayan di Pulau Pinang berkait projek PSR tersebut.

Justeru itu, Reezal yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendesak kerajaan tidak mengambil mudah kesan PSR kepada kehidupan dan untung nasib nelayan serta pengusaha penternakan akuakultur yang terbabit.

Projek PSR merupakan sebahagian daripada projek mega Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang yang bukan sahaja memberi kesan negatif kepada rakyat Pulau Pinang, bahkan turut menimpa kepada rakyat negeri Kedah dan Perak. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.