Lonjakan Permohonan Jadi Ahli UMNO, Dukung Penyatuan UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengalu-alukan perkembangan terbaru berikutan isyarat bahawa bakal berlaku gelombang orang Melayu meninggalkan PPBM dan PAN.

Katanya, mereka ini ingin turut mendokong penyatuan ummah UMNO-PAS

“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT. Kita juga menyaksikan lonjakan permohonan menjadi ahli UMNO.

“Pada masa ini kita menerima tidak kurang dari 15 ribu ahli baru setiap bulan. Tahun ini dijangka lebih dari 100 ribu ahli baru bakal diterima menyertai UMNO,” katanya.

Jelasnya, dengan perkembangan terbaru ini, beliau menyeru semua 191 bahagian-bahagian dan 22 ribu cawangan UMNO memperkemas jentera pentadbiran parti peringkat masing-masing.

“Saya akan memulakan jelajah ke negeri-negeri dan akar umbi serta mengadakan seminar bengkel pentadbiran parti dan pengurusan pilihan raya dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN), Insya-Allah. Teruskan Perjuangan!” seru beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.