Bukan Saja YB Melompat… Aset Parti Termasuk Akaun Bank Bahagian Pun Ikut ‘Lompat’

KOTA KINABALU, 17 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendedahkan senarai nama UMNO Bahagian-bahagian di Sabah yang bukan sahaja pemimpinnya melompat tetapi turut melarikan aset hak milik parti.

Jelas Abdul Rahman yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tuaran, antara bahagian UMNO yang mana fail pentadbiran tidak diserahkan oleh kepimpinan yang melompat kepada kepimpinan baru ialah UMNO Bahagian Tawau, Kalabakan, Batu Sapi, Pensiangan, Kudat, Beaufort, Kota Belud, Tuaran, Putatan, Kota Marudu, Papar, Ranau, Semporna, Kimanis (fail sayap-sayap) dan Keningau.

“Persoalannya kenapa fail-fail UMNO tidak dikembalikan walaupun telah diminta secara baik dan secara rasmi?

“Apa agenda? Fail-fail pentadbiran termasuk data ahli UMNO bukan hak milik persendirian. Itu hak milik UMNO!

“Sebenarnya, di seluruh Sabah bukan saja YB-YB (Yang Berhormat) UMNO yang melompat, malah fail-fail pentadbiran UMNO serta pejabat, kerusi meja, ‘aircond’ dan akaun bank bahagian juga ikut melompat,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebooknya, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian mengulas mengenai Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang telah memberi jawapan balas terhadap kenyataannya sebelum ini berhubung fail pentadbiran UMNO bahagian yang dilarikan oleh kepimpinan PPBM Sabah.

“Sebenarnya YB Datuk Seri Dr Ronald Kindee tidak tahu tentang kes melarikan fail-fail pentadbiran kerana beliau bukan Ketua Bahagian UMNO Beluran sebelum ini walaupun dua kali mencuba,” katanya lagi.

Justeru itu Abdul Rahman berharap agar Dr Ronald dapat menghubungi mantan-mantan Setiausaha UMNO Bahagian dengan kadar segera supaya kembalikan fail-fail pentadbiran UMNO bahagian yang terlibat kepada kepimpinan baharu UMNO.

“Tentang pejabat, kerusi meja dan ‘aircond’ itu tidak perlulah dipulangkan.

“Itu sudah kami halalkan untuk disedekah,” ujarnya. – MediaUMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.