Blok Pembangkang Tunjuk Contoh… Kerajaan Juga Harus Tunaikan Janji Pada Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah menjelaskan keikhlasan blok pembangkang dalam menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah satu contoh yang patut diikuti oleh kerajaan.

Kata Shahar, sebagai pemimpin muda dari blok pembangkang, beliau mengharap agar pihak kerajaan dapat menunaikan segala janji-janji dalam RUU tersebut malah janji-janjiyang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 juga harap dapat dilaksanakan.

“Blok pembangkang telah membuktikan keikhlasan mereka menunaikan janji kepada kerajaan. Sebagai anak muda dan pimpinan muda kita harap kerajaan juga akan dapat menunaikan manifesto yang mereka janjikan kepada rakyat .

“Sejarah yang terlakar di Dewan Rakyat adalah bukti blok pembangkang begitu ikhlas dalam menunaikan janji. Sekiranya syarat-syarat yang kita minta ditunaikan, kita akan memberikan sokongan,” katanya kepada UMNO-Online.

Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO turut memaklumkan bahawa blok pembangkang telah memberikan satu conoh yang baik dengan menyokong usul apabila syarat-syarat yang diminta ditunaikan.

“Blok pembangkang telah menunjukkan satu contoh yang baik apabila syarat-syarat dipenuhi maka kerajaan juga wajar penuhi janji kepada rakyat yang telah beri undi kepada mereka untuk jadi kerajaan maka sepatutnya mereka menunaikan janji-janjinya.

“Anak-anak muda sedang menanti sama ada janji-janji mereka akan ditunaikan,” tegasnya lagi.

Dewan Rakyat semalam telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan menerima cadangan blok pembangkang yang membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun di samping layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.